Buletin

FORD PERTIMBANG MUSTANG VERSI SEDAN, SASAR PASARAN LEBIH LUAS MENJELANG 2028

Ford dilaporkan sedang menilai kemungkinan memperkenalkan versi sedan empat pintu bagi model ikonik Mustang, satu langkah yang berpotensi mengubah landskap kereta prestasi jenama itu dalam usaha menarik lebih ramai pembeli pada masa depan.

Menurut laporan media automotif antarabangsa, prototaip Mustang empat pintu tersebut telah diperlihatkan kepada rangkaian pengedar Ford dalam satu sesi tertutup di Las Vegas baru-baru ini.

Perbincangan itu dikatakan melibatkan hala tuju produk masa depan syarikat yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley.

Walaupun tiada gambar rasmi didedahkan kerana penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan sepanjang sesi berkenaan, beberapa pengedar yang hadir menggambarkan reka bentuk model tersebut sebagai menyerupai sebuah sedan prestasi mewah, khususnya Porsche Panamera.

Lebih menarik, Ford dikatakan menyasarkan ruang kabin belakang yang lebih luas berbanding Panamera, sekali gus menjadikan model itu lebih praktikal untuk kegunaan harian.

Harga permulaan pula dilaporkan berada di bawah AS$40,000 (sekitar RM170,000), dengan pelancarannya berkemungkinan berlaku sekitar tahun 2028.

Cadangan menghasilkan Mustang empat pintu mungkin kedengaran kontroversi dalam kalangan peminat tegar model itu yang selama ini sinonim dengan konfigurasi coupe dua pintu.

Namun, perubahan cita rasa pengguna global yang semakin cenderung kepada SUV dan kenderaan lebih praktikal mendorong banyak pengeluar mencari formula baharu untuk meningkatkan jualan.

Trend tersebut bukan sesuatu yang asing. Beberapa model coupe popular seperti Honda Accord Coupe dan Toyota Camry Coupe telah lama dihentikan pengeluarannya berikutan permintaan yang semakin berkurangan.

Bagi Ford, langkah memperkenalkan Mustang empat pintu tidak semestinya bermaksud versi coupe tradisional akan ditamatkan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi strategi untuk mengembangkan keluarga Mustang kepada segmen pelanggan yang mahukan prestasi, tetapi pada masa sama memerlukan ruang tambahan untuk keluarga dan kegunaan harian.

Terdahulu, Ford pernah memfailkan tanda dagangan bagi nama “Mach 4”, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa nama tersebut mungkin digunakan untuk varian sedan Mustang pada masa akan datang.

Model seperti Dodge Charger turut membuktikan bahawa kereta prestasi empat pintu mempunyai potensi pasaran yang besar. Malah, sepanjang beberapa tahun lalu, Charger empat pintu sering mencatat jualan lebih tinggi berbanding Dodge Challenger yang menggunakan konfigurasi dua pintu.

Jika direalisasikan, Mustang empat pintu berkemungkinan menjadi antara transformasi terbesar dalam sejarah model berusia lebih enam dekad itu, sambil mengekalkan identiti prestasi yang menjadi tunjang namanya sejak diperkenalkan pada tahun 1964.

Google ads
Back to top button