Buletin

FORD FOCUS BAHARU – OKAY KE TIDAK NI?

Ford Focus sebenarnya adalah kereta global yang penting. Sebab apa? Sebab kereta ini memang laris terutama sekali di Eropah dan ia sebenarnya model penanda aras untuk pengeluar lain.

Salah satu pengeluar yang menjadikannya sebagai penanda aras ialah Proton sendiri apabila membangunkan Prevé beberapa tahun dulu.

Selain itu, Focus juga mempunyai saingan yang hebat dalam kenderaan segmen C, ada VW Golf, Toyota Corolla Hatchback/Auris, Mazda3, Honda Civic dan pelbagai lagi.

Walaupun Ford Focus tidak berapa popular di negara ASEAN susulan dominasi pengeluar Asia tetapi seperti yang disebutkan awal tadi, kereta ini memang penting.

Cuba bayangkan Valentino Rossi tanpa Marc Marquez atau pesaing lain? Bosan juga, habis tu nak berlawan dengan siapa?

Ford Focus generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 2011 dan lama juga model ini berkhidmat sehinggalah Focus generasi keempat dipertontonkan secara rasmi pada hari ini.

Melalui imej yang diberikan kepada media, jelas bahawa Focus baharu banyak mengikut trend terkini. Rasa macam nak berterima kasih kepada Hyundai dan Mazda pun ada.

Dari sisi permukaan badannya nampak beralun dan secara keseluruhannya reka bentuk bersegi banyak dikurangkan. Dari depan memang jelas ini adalah identiti Ford melalui reka bentuk gril dan lampu utama.

Bahagian belakang pula meneruskan tema beralun dari sisi kereta dan nampak trendy serta mengikut peredaran masa.

Reka bentuk baharu dan segar ini nampaknya memang mendatangkan hasil dan ini boleh dilihat melalui tahap pekali seretan (CD) yang rendah iaitu 0.273.

Bahagian dalaman tampil ringkas dan tidaklah dramatik sangat. Terasa macam Mazda pun ada lebih-lebih apabila menggunakan skrin macam TAB di atas papan pemuka.

Satu perkara lagi yang menarik ialah Ford memperkenalkan tujuh varian Focus serentak iaitu Zetec, ST-Line, ST-Line X, Titanium Titanium X dan Vignale. 

Walaupun ada tujuh varian tetapi jenis badan ada dua sahaja iaitu hatchback dan wagon. Model sedan dan dua pintu tidak tersenarai.

Untuk pilihan enjin pula Ford menawarkan tiga sesaran iaitu 1.0 liter EcoBoost yang telah diubahsuai dari Ford Fiesta dengan tiga kuasa 85 bhp, 100 bhp dan 125 bhp. 

Jika rasa macam tak yakin dengan enjin 1.0 liter, Ford menawarkan enjin yang lebih besar iaitu 1.5 liter EcoBoost dengan dua pilihan kuasa iaitu 150 bhp atau 182 bhp. Satu perkara menarik ialah enjin 1.5 liter sebenarnya ada tiga silinder sahaja dan lebih canggih apabila satu silinder boleh dimatikan untuk penjimatan bahan api.

Itu untuk enjin petrol dan bukti bahawa enjin diesel masih boleh dijual di Eropah apabila Ford mempunyai dua alternatif janaan diesel. Enjin 1.5 liter EcoBlue mempunyai dua kuasa pilihan iaitu 95 PS dan 120 PS dengan tork 300 Nm.

BACA: SELAMAT TINGGAL FORD FOCUS RS – INI MODEL TERAKHIR SEBELUM PRODUKSI TAMAT

BACA: HARGA FORD RANGER RAPTOR DI AUSTRALIA DIUMUMKAN. RM223K! APA LAGI MALAYSIA MAU?

Enjin 2.0 liter EcoBlue diesel pula berkuasa 150 bhp dengan tork 370 Nm. Kuat juga enjin diesel ini. 

Untuk pilihan transmisi ada perkembangan menarik. Tidak nampak pula Ford menawarkan transmisi klac berkembar kecuali versi baharu lapan kelajuan automatik quickshift. Macam biasa, gear manual masih kekal iaitu enam kelajuan versi terkini.

Focus baharu akan mula menemui pelanggan di UK bermula September ini pada harga permulaan GBP 17,930 (RM 98,476.46) sehingga GBP 25,450 (RM 139,774.12).

Focus memang sangat penting untuk Ford di Eropah, masakan tidak kerana jualan model pertama dari tahun 1998 sudah menjangkaui tujuh juta unit manakala diperingkat dunia pula sudah 16 juta unit terjual. Banyak sungguh.

Sementara itu kita tunggu pula Focus RS keluar. Banyak saingan menanti, VW Golf GTI, Honda Civic Type R, Renault Megane RS dan tidak dilupakan Hyundai i30 N.

Google ads
Back to top button