FORD MAHU HADKAN PRODUKSI MODEL FOCUS, MASALAH BEKALAN DARI UKRAINE ANTARA PUNCA
Tahun 2022 masih lagi ada enam bulan sebelum tirai dilabuhkan sepenuhnya, namun ia kekal menjadi tahun yang sangat mencabar bagi sesetengah pengeluar.
Ford misalnya, dilaporkan mahu mengehadkan produksi bagi model Focus termasuk varian Focus ST di kilang Saarlouis, Jerman selepas 29 Ogos ini.
Menurut laporan Automobilwoche, nasib kilang dengan tenaga kerja seramai 6,190 orang itu bakal ditentukan kelak, disebabkan oleh masalah keputusan bekalan sistem infotainmen SYNC 4 yang kebanyakannya datang dari negara Ukraine.
Untuk rekod, sepanjang bulan Mei, Ford Focus mencatatkan penurunan jualan sebanyak 28.3 peratus kepada 27,151 unit.
Sepanjang tempoh empat bulan pertama pula, model VW Golf yang sebelum ini merupakan model terlaris di Eropah telah turun sebanyak 25.3 peratus kepada 56,805 unit, ketinggalan di belakang Dacia Sandero (62,271 unit) dan Peugeot 208 (68,156 unit).
Model Skoda Octavia juga turut merosot 44.7 peratus kepada 33,024 unit, diikuti dengan model Audi A3 yang turun 11.9 peratus kepada 35,350 unit. – Automotive News Europe