" "
Buletin

BENTLEY CONTINENTAL GT DAN GTC S, INILAH COUPÉ MEWAH YANG SEGAK!

Sekiranya anda sedang mencari-cari kereta mewah untuk dimiliki, pilihan yang ada bukan setakat buatan Jerman sahaja. Bentley dari England juga menarik dengan sensasi tersendiri.

Tidak dinafikan sesaran enjin Bentley besar belaka namun itu tidak menjadi masalah buat pengguna yang mampu memilikinya.

Terbaru Bentley mengembangkan lagi siri Continental GT dengan menawarkan dua varian baharu iaitu Continental GT S dan Continental GTC S.

Enjin kekal dengan 4.0 liter V8 berkuasa 542 bhp dan tork 770 Nm dan prestasi pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan empat saat.

Enjin itu dipadan bersama transmisi lapan kelajuan berkembar dan pacuan semua roda sebagai ciri standard.

Apa yang berbeza ialah pemasangan ekzos sport untuk lebih gema enjin V8.

Continental GT S menggunakan teknologi Bentley Dynamic Ride dengan sistem canggih anti olengan aktif elektrik  48V.

Dengan penghasilan sehingga 1300 Nm dalam 0.3 saat, motor di dalam bar anti oleng berfungsi secara aktif bagi mengimbangi daya selekoh dan meminimumkan olengan badan kereta.

Teknologi itu turut mempertingkatkan keselesaan pada kelajuan jajap (cruising speeds) dengan nyahganding atau memisahkan roda kiri dan kanan.

Dari segi gayaan, tema warna gelap menyerlahkan imej coupé mewah ini.

Gril berwarna hitam kilat, lampu depan dan belakang digelapkan dan kesemua komponen terang atau krom pada bahagian luar dibuat dalam warna hitam kilat.

Hanya lencana bersayap dan ejaan Bentley dalam warna krom.

Pembeli varian S ditawarkan pilihan roda 22 inci baharu dengan corak Y lima rongga dalam warna hitam kilat atau Pale Brodgar Satin.

Angkup brek berwarna merah memberikan padanan yang kontra.

Pilihan roda kedua ialah saiz 21 inci dengan padanan warna hitam kilat dan kemasan terang.

Lagi komponen pada bahagian luar ialah lencana S pada fender, empat muncung ekzos dalam warna hitam dan sil lebar warna hitam seperti Continental GT Speed.

Pada bahagian dalam, Bentley menggunakan bahan ala suede yang dikenali sebagai Dinamica pada stereng, gear, dudukan dan sandaran belakang kerusi.

Bentley turut menggunakan balutan kulit dan tema warna hitam dan mewah berjaya menaikkan imej sporti dan elegan coupé mewah ini.

Berkenaan harga, Bentley Continental GT S katanya ditawarkan pada $266,000 (RM1,169,336) manakala Continental GTC S pada $292,500 (RM128,5830).

BACA: FLYING SPUR HYBRID, BENTLEY TERPALING EKONOMIKAL, SETANGKI 805 KM!

BACA: BENTLEY BENTAYGA SIAP EKZOS AKRAPOVIČ!

BACA: SELAMAT TINGGAL ENJIN BENTLEY L-SERIES V8, DARI 1959-2020!

Google ads
Back to top button