HYUNDAI TAMAT PRODUKSI IONIQ ORI JULAI INI
Model asal yang memulakan legasi Ioniq bakal ditamatkan produsinya pada bulan depan.
Hyundai Ioniq merupakan kereta pertama di dunia yang tampil dengan tiga pilihan trenkuasa, iaitu enjin hibrid, plug-in hybrid dan elektrik bateri semasa dilancarkan pada tahun 2016.
Versi hibrid dan plug-in hybrid masing-masing datang dengan enjin 1.6 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, dengan kuasa gandingan 139 hp, di mana Ioniq PHEV dilengkapi dengan bateri 8.9 kWh yang membenarkan jarak sifar emisi sejauh 47 km.
Sementara model EV pula dilengkapi dengan motor elektrik 134 hp/295 Nm, dipadankan dengan pek bateri 38.3 kWh yang hanya membolehkan EV ini dipandu sejauh 274 km sahaja.
Dengan penamatan produksi Ioniq di kilang Ulsan, ia menandakan satu lagi pencapaian Hyundai yang signifikan di dalam sejarah pengeluar dari Korea Selatan itu.
Tatkala Hyundai mengakui ‘tiada sebarang pengganti bagi model Ioniq’, model tersebut dilapor akan digantikan dengan sedan Ioniq 6 yang kini sedang dalam fasa pengujian.