Buletin

FORD PENGELUAR PALING BANYAK KEMPEN RECALL TAHUN 2022

Tahun 2022 merupakan satu tahun yang agak mencabar buat Ford, memandangkan pengeluar Amerika Syarikat itu bertanggungjawab terhadap 17 peratus daripada jumlah keseluruhan kempen panggil semula yang dibuat sepanjang tempoh tersebut.

Menurut data daripada agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), sebanyak 67 kempen panggil semula telah dibuat oleh Ford di mana majoritinya berkenaan masalah trenkuasa.

Tempat kedua disandang oleh Volkswagen dengan jumlah kempen sebanyak 45 (11 peratus), diikuti Daimler Trucks (42 kempen), Chrysler (38 kempen) dan syarikat pembina trak komersial dan RV, Forest River (35 kempen).

Dari segi jumlah kenderaan yang terjejas, Ford Motor Company masih lagi ‘juara’ dengan jumlah sebanyak 8.6 juta unit kenderaan, diikuti oleh Tesla (3.8 juta unit), sementara GM dan Chrysler masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat.

Ford sebelum ini mengumumkan kempen panggil semula yang terbesar melibatkan kira-kira 2.9 juta unit kenderaan disebabkan masalah kenderaan yang mampu bergerak sewaktu diparkir, walaupun tombol gear berada di posisi P. – Carscoops

Google ads
Back to top button