Buletin

SETELAH 20 TAHUN, MERCEDES-BENZ AKHIRNYA JUMPA PUNCA MASALAH SUNROOF BOLEH TERCABUT PADA MODEL 2001 – 2011

Mercedez-Benz akhirnya menjumpai penyelesaian terhadap masalah sunroof pada model Mercedes C-Class, CLK, E-Class dan CLS yang dijual di antara tahun 2001 hingga 2011.

Sebelum ini, beberapa kes berkaitan sunroof mula mendapat perhatian jenama itu apabila mendapat aduan bahawa sunroof boleh tertanggal sepenuhnya, berisiko membahayakan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

Menurut dokumen yang difailkan kepada Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), Mercedes-Benz mula menyedari isu serius ini pada 2017. Ketika pertama kali disiasat, Mercedes-Benz tidak dapat mengenal pasti punca masalah, ia turut meminta pihak ketiga untuk menyiasat isu tersebut.

Pada 2018, Mercedes-Benz menganalisis lebih banyak sunroof dan mendapati bahawa ia berpunca daripada masa pengeringan yang dipendekkan. Mereka mendapati tempoh pengeringan disingkatkan kepada dua minit berbanding tempoh ideal, lima minit.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2020, tempoh ideal lima minit untuk proses pengeringan sebenarnya juga menunjukkan kegagalan. Maka, Mercedes akhirnya semakin hampir kepada punca masalah.

Menjelang 2022, Mercedes akhirnya mengesan permasalahan dihadapi. Ia disebabkan oleh ikatan selain faktor proses pengeluaran, seperti suhu dan kelembapan di kilang yang menyebabkan isu itu timbul sejak 20 tahun lalu.

Memandangkan isu tersebut akhirnya dikenal pasti, Mercedes-Benz akan menghubungi pemilik yang terjejas selewat-lewatnya pada 21 Februari depan dan meminta mereka mengunjungi pengedar terdekat untuk pemeriksaan serta melakukan penggantian sekiranya perlu.

Google ads
Back to top button