Buletin

GARA-GARA AMBIL TELEFON BAWAH KERUSI, PORSCHE PANAMERA ‘TERBANG’ KE PARIT

Tindakan peniaga mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh di bawah kerusi pemandu mengundang padah apabila kereta mewahnya terbabas di Jalan Sungai Rambai, Kuala Langat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian pada jam 3.20 petang itu membabitkan Porsche Panamera dipandu lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam ke Jenjarom.

“Setibanya di lokasi, pemandu menggunakan telefon bimbit untuk membuka aplikasi Google Maps lalu peranti itu terjatuh ke bawah kerusi,” katanya.

Mohd Akmalrizal berkata, ketika cuba mengambil telefon bimbitnya pemanduan mangsa hilang kawalan ke kiri dan terbabas melepasi parit sebelum terhenti di atas tebing.

“Pemandu tidak mengalami kecederaan dan mempunyai lesen memandu yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 03-31872222 atau 011-18539115 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Harian Metro

Google ads
Back to top button