
IPONE PERKENAL MINYAK ENJIN MOTOSIKAL DINAIK TARAF UNTUK PASARAN MALAYSIA
Specialy Lubricants Trading Sdn Bhd selaku prinsipal utama Ipone di Malaysia dengan rasminya memperkenalkan rangkaian produk minyak enjin motosikal dinaik taraf untuk pasaran tempatan.

Selain memperkukuhkan kedudukan sebagai jenama premium di bawah Motul Group, Ipone Malaysia turut mengumumkan kejayaan mencapai pensijilan SIRIM.
Jenama dari Perancis itu memperkenalkan formulasi terkini untuk pasaran Malaysia termasuk menampilkan minyak asas PAO dan ester 100% – minyak asas Group 4 dan Group 5 berkualiti tinggi yang juga merupakan gred tertinggi yang ada dalam pasaran dunia hari ini.

Gabungan ester dan minyak asas premium ini menjadikan minyak enjin Ipone solusi terbaik dalam menawarkan perlindungan enjin yang optimum dan prestasi yang maksimum.
Terdapat empat jenis minyak enjin yang ditawarkan:
- Shogun – untuk prestasi terbaik dan perlindungan maksimum terutamanya untuk kegunaan di litar lumba mahupun tunggangan jalan raya yang berprestai tinggi.
- Samourai & Katana – minyak enjin sintetik penuh yang menawarkan prestasi premium dan responsif enjin yang lebih baik terutamanya untuk kegunaan harian.
- R4000 & 10.4 – minyak separa sintetik yang mengimbangi antara perlindungan dan prestasi, sesuai untuk kegunaan harian.
- M4 – minyak mineral yang direka untuk motosikal yang bersesuaian di samping menawarkan akses yang mudah namun mengekalkan kualiti Ipone.









