
GEELY MAHU BELI SAHAM RENAULT BRAZIL! EDAR KENDERAAN GEELY
Geely semakin rancak dalam mengembangkan perniagaannya di serata dunia.
Terbaru Renault Group dan Geely Holding Group mengumumkan perjanjian rangka kerja untuk memperluaskan kerjasama strategik melalui Renault do Brasil.
Geely Holding akan melabur dalam Renault do Brasil sebagai pemegang saham minoriti. Pelaburan ini memberikan Geely Holding akses kepada pengeluaran setempat, jualan dan sumber perkhidmatan.

Dua kemudahan pengeluaran di Kompleks Ayrton Senna, São José dos Pinhais, Paraná akan digunakan untuk pengeluaran kenderaan baharu Renault dan Geely Holding selain kenderaan Renault sedia ada.
Hubungan di antara Renault dan Geely bukan sesuatu yang baharu. Kedua-dua kumpulan memiliki Horse Powertrain, syarikat yang menghasilkan enjin pembakaran dalaman dan rangkaian kuasa hibrid.
Kedua-dua organisasi turut berkongsi pegangan saham dalam Renault Korea selain Samsung. Renault Grand Koleos yang diperkenal pada Jun 2024 diasaskan daripada Geely Xingyue L atau Monjaro.

Dari segi jualan, Renault do Brasil akan menjadi pengedar kenderaan sifar dan rendah emisi Geely Holding di Brazil melalui ekosistem pengedaran sedia ada.
Geely Holding akan mendapat manfaat daripada kepakaran dan kekuatan komersial Renault bagi mempercepatkan pertumbuhannya di Brazil yang merupakan pasaran automotif utama di Amerika Selatan.
Melalui perkongsian ini, Renault Group dan Geely Holding Group akan terus memperkukuh pengembangan global masing-masing dan kedudukan mereka sebagai pemain utama dalam pasaran Brazil.










