Motosikal

LETEN LT 190 BAKAL MASUK MALAYSIA MENERUSI AVETA – GUNA CVT, 20.1HP

Baru-baru ini telah berlangsungnya pelancaran dua skuter baharu dari AVETA menerusi Nova 160 dan Nova 125. Sewaktu majlis pelancaran, AVETA turut menggunakan peluang itu untuk mempamerkan beberapa model akan datang. 

Bagaimanapun, dari beberapa model yang dipamerkan itu, pandangan kami terarah kepada sebuah motosikal gaya kapcai adventure. 

Tinjauan lebih dekat mengesahkan tanggapan awal kami bahawa motosikal tersebut merupakan Leten LT 190 yang telah kami saksikan dengan lebih dekat sewaktu di CIMA 2024 (China International Motorcycle Trade Exhbition) tahun lalu. 

Siasatan lanjut mendapati AVETA bakal menawarkan LT 190 untuk pasaran tempatan dengan motosikal itu akan mengguna pakai lencana AVETA. Ini bermakna LT 190 itu akan dipasang sepenuhnya disini. 

Leten LT 190 ini merupakan motosikal yang menarik kerana meskipun menawarkan gaya kapcai adventure yang diilhamkan dari motosikal seperti Honda Trail 125 namun motosikal ini mengguna pakai transmisi CVT. Penggunaan CVT juga menyaksikan LT 190 dioperasikan seperti sebuah skuter dengan hanya ‘twist and go’.

Transmisi CVT itu pula dipadankan dengan enjin satu silinder 188cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 20.1hp pada 8,250rpm dan 18Nm pada 6,250rpm. Ini bermakna LT 190 ini jauh lebih berkuasa berbanding Trail 125 yang hanya menghasilkan 9.7hp. 

Menariknya, LT 190 turut dilengkapi dengan fungsi ‘traction control’ secara standard selain dari ABS dwi-saluran dan cakera brek depan dan belakang. Ciri lain ditawarkan termasuk TPMS (tyre pressure monitoring system), lampu LED depan dan belakang serta tangki bahan api berkapasiti 10L.

Buat masa ini kami belum dimaklumkan bila AVETA akan melancarkan model baharu ini namu apa yang pasti kehadiran LT 190 pastinya menghangatkan pasaran motosikal tempatan.

Google ads
Back to top button