
GUNA BURUH KANAK-KANAK, HYUNDAI TAMAT KONTRAK SYARIKAT PEMBEKAL ALABAMA
Hyundai akan menamatkan kontrak dua syarikat pembekalnya yang didakwa melanggar undang-undang buruh kanak-kanak.
Dalam satu laporan bulan Julai yang lalu, Reuters mendedahkan terdapat tenaga buruh kanak-kanak berusia 12 tahun yang bekerja di kilang pengecap logam di luar bandar Luverne, Alabama.
Siasatan susulan turut menemukan kanak-kanak seawal usia 13 tahun bekerja di sebuah lagi kilang pembekal serantau.
Bercakap kepada Reuters, ketua pegawai operasi global Hyundai Motor Company Jose Munoz berkata, pihaknya akan memutuskan hubungan dengan dua syarikat pembekal di Alabama itu secepat mungkin.
Munoz walau bagaimanapun tidak mendedahkan bilakah pihaknya akan menamatkan kontrak dengan syarikat pembekal terbabit, selain tidak menyatakan berapa lama tempoh siasatan yang akan diambil.
Sementara itu, pihak SL Alabama menegaskan pihak mereka telah melaksanakan langkah-langkah agresif untuk membetulkan keadaan, dengan mengesahkan mereka telah menamatkan hubungan dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyusun semula proses pengambilan pekerja secara lebih telus. – Reuters







