Buletin

GURU TERSELAMAT, KERETA DINAIKI LANGGAR GAJAH

Seorang guru berdepan detik cemas apabila terlanggar seekor gajah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kilometer 6, Jalan Nitar-Mersing, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kemalangan melibatkan kereta Honda City itu pada jam 6.45 pagi.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Honda City dalam perjalanan dari Endau menuju ke Kahang telah terlanggar seekor gajah yang berada di laluannya.

“Pemandu, seorang wanita berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan yang serius, manakala gajah terbabit telah beredar dari tempat kejadian menuju ke ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan jangan panik apabila berdepan situasi sama.

Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, sejak 2020 hingga Ogos lalu, sebanyak 510 aduan konflik gajah-manusia dilaporkan membabitkan enam daerah iaitu Mersing dengan 181 kes, Kluang (160), Kota Tinggi (111), Segamat (39), Batu Pahat (12) dan Johor Bahru (7). – Buletin TV3

Google ads
Back to top button