Buletin

GWM CANNON 2026 DILANCARKAN – PILIHAN DIESEL 480NM, 9 MOD PEMANDUAN, HARGA BERMULA RM66,000

Great Wall Motors (GWM) kembali mencuri tumpuan di Guangzhou International Auto Show 2025 apabila melancarkan barisan penuh pikap Cannon 2026, merangkumi varian penumpang, komersial dan off-road.

Model baharu ini hadir dengan naik taraf rangka, trenkuasa lebih berkuasa serta sistem infotainmen yang lebih moden.

Harga permulaan diumumkan serendah AS$14,000 (sekitar RM66,000), menjadikannya antara pikap paling kompetitif dalam kelasnya.

Varian komersial menerima struktur rangka yang diperkukuh dengan bingkai tangga berketebalan tinggi dan sistem spring daun 3+2, bagi memastikan kemampuan menampung beban lebih baik. Dua pilihan enjin ditawarkan:

  • 2.4L turbodiesel + transmisi automatik 9 kelajuan
  • 2.0L turbodiesel + automatik 8 kelajuan

GWM turut menambah baik aspek keselamatan melalui pemasangan palang sisi bertetulang, struktur badan jenis sangkar, serta fungsi pemotongan bahan api dan nyahkunci automatik ketika kemalangan.

Di bahagian pencahayaan, lampu hadapan LED dwilensa dengan reka bentuk berasingan dipadankan bersama lampu kabus baharu. Saiz tayar kini lebih besar — 255/65 R18 — bagi kestabilan tambahan.

Untuk kegunaan khusus, GWM turut menampilkan versi yang dioptimumkan untuk laluan berbukit (dengan tayar semua permukaan, kamera 360°, bantuan mula mendaki) serta iklim sejuk (dengan pemanas tempat duduk dan stereng). Varian komersial juga ditawarkan pelbagai insentif termasuk tunai dan kredit tukar beli.

Bagi pengguna yang mahukan pikap sebagai kenderaan harian, varian penumpang ditawarkan bermula AS$17,880 hingga AS$23,820 (RM84,000–RM112,000). Model ini menggunakan enjin 2.4L + 9AT dengan talaan kuasa lebih tinggi.

Kabin pula menerima sistem infotainmen terkini Coffee OS 3, lengkap dengan integrasi telefon pintar paling menyeluruh dalam kelasnya: Huawei HiCar, Honour, ICCOA Carlink dan Apple CarPlay.

Respons arahan suara sepantas 250 milisaat menjadikan interaksi lebih intuitif, termasuk fungsi “cakap-apa-yang-dilihat” dan arahan berasaskan konteks.

Paparan instrumen digital 10.25-inci digandingkan dengan skrin tengah 14.6-inci yang mempunyai lapisan anti-silau, anti-pantulan dan anti-cap jari. Sistem ini turut dilengkapi RAM 16GB dan storan 128GB. Untuk ciri keselamatan, kamera 360° dan paparan “casis telus” datang sebagai standard.

Versi paling lasak, Cannon Off-road, bermula AS$25,380 (sekitar RM119,000) dan menggunakan enjin 2.4L turbodiesel yang menghasilkan 480Nm tork. Pikap ini menampilkan sistem pacuan empat roda BorgWarner 4A+MLOCK, bersama tiga kunci pembeza mekanikal, kombinasi yang jarang ditemui dalam kelas harga ini.

Untuk tugasan sukar, GWM turut memasang winch T-MAX 9,500 lb, mod belokan “tank turn”, mod merangkak (crawl), serta sembilan mod pemanduan: ekonomi, normal, sport, salji, lumpur, pasir, 4L, batu dan mod pakar.

Pelanggan boleh memilih aksesori off-road tambahan seperti penyerap hentak nitrogen K-MAN dan tayar BFGoodrich, yang semuanya masih sah digunakan atas jalan.

Jika melihat kepada spesifikasi dan pakej harga yang ditawarkan, GWM jelas menyiapkan Cannon 2026 untuk memberi saingan sengit kepada barisan pikap Jepun dan Amerika yang selama ini mendominasi pasaran.

Google ads
Back to top button