
GWM MALAYSIA EKSPORT LEBIH 1,100 UNIT WEY G9 KE THAILAND DAN INDONESIA
GWM Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif serantau apabila berjaya mengeksport lebih 1,100 unit kenderaan GWM WEY G9 yang dipasang di Malaysia ke Thailand dan Indonesia.
Pencapaian itu turut mencerminkan perkembangan operasi pemasangan tempatan syarikat berkenaan, dengan jumlah keseluruhan kenderaan GWM yang dipasang di Malaysia kini melepasi 10,000 unit sejak pengeluaran pemasangan tempatan atau CKD bermula pada Oktober 2024.
Kejayaan tersebut mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport strategik GWM bagi pasaran ASEAN, selain menyokong perkembangan industri kenderaan tenaga baharu (NEV) negara.
Penghantaran GWM WEY G9 ke dua pasaran serantau itu menjadi langkah penting dalam memperluas capaian kenderaan pemasangan Malaysia ke luar negara.

Model MPV mewah berkenaan menggabungkan teknologi hibrid pintar, keselesaan premium serta keupayaan pacuan semua roda.
Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao, berkata perkembangan itu membuktikan keupayaan Malaysia dalam menyokong strategi pertumbuhan serantau syarikat melalui kerjasama dengan rakan pembuatan tempatan.
Menurutnya, kejayaan menembusi pasaran Thailand dan Indonesia turut memperlihatkan potensi Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam rangkaian pengeluaran dan eksport automotif ASEAN.
Dalam perkembangan berkaitan, operasi pemasangan tempatan GWM bermula menerusi model GWM HAVAL H6 HEV pada 2024, yang dipasang dengan kerjasama EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka.
Barisan pemasangan kemudian diperluas pada 2025 menerusi GWM WEY G9 Hi4 PHEV, sebelum syarikat memperkenalkan GWM WEY G9 Hi4 HEV sebagai tambahan kepada rangkaian model hibrid yang dipasang dalam negara.

Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, aktiviti pemasangan tempatan turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta penglibatan lebih luas syarikat tempatan dalam rantaian bekalan automotif.
Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia, Cui Anqi, berkata Malaysia kini semakin penting dalam perancangan pembuatan dan pertumbuhan serantau syarikat itu.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan keyakinan jangka panjang GWM terhadap industri automotif Malaysia, di samping usaha mewujudkan lebih banyak peluang bagi kepakaran tempatan menyumbang kepada pasaran ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata pencapaian melepasi 10,000 unit pemasangan tempatan menunjukkan kemajuan yang dicapai bersama rakan pembuatan syarikat.
Katanya, GWM akan terus memperluas penawaran teknologi serta aktiviti eksport serantau bagi menyokong pembangunan industri automotif tempatan.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2022, GWM terus mengembangkan rangkaian produknya, memperluas jaringan pengedar dan meningkatkan aktiviti pemasangan tempatan.
Dengan pertambahan model kenderaan tenaga baharu serta peluasan pasaran eksport, Malaysia dijangka terus menjadi sebahagian penting daripada strategi GWM untuk mengukuhkan kehadirannya di ASEAN.







