Buletin

GWM MALAYSIA PAMER TEKNOLOGI MOBILITI MASA DEPAN DI GATE 2026

GWM Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif tempatan apabila mengambil bahagian dalam Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026, sebuah platform yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan dan penyedia teknologi bagi membincangkan hala tuju masa depan sektor automotif negara.

Penyertaan syarikat itu bukan sekadar mempamerkan rangkaian kenderaan terkini, malah menonjolkan komitmennya terhadap pembangunan industri tempatan menerusi pemasangan tempatan (CKD), eksport serantau serta pengenalan teknologi mobiliti generasi baharu.

Dianjurkan oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), GATE 2026 menjadi medan untuk memperlihatkan kemajuan teknologi dan membuka ruang kerjasama antara pelbagai pihak dalam ekosistem automotif, pembuatan dan teknologi negara.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2022, GWM telah memperluaskan operasinya menerusi pelaburan dalam produk, teknologi serta inisiatif penyetempatan.

Pada separuh pertama tahun ini, syarikat merekodkan penghantaran sebanyak 3,166 unit kenderaan, meningkat 42.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi tersebut meletakkan GWM dalam kelompok 11 jenama automotif paling laris di Malaysia, didorong oleh permintaan terhadap model seperti HAVAL H6 HEV dan WEY G9 Hi4 PHEV.

Menurut Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao, Malaysia kini memainkan peranan yang semakin penting dalam strategi pertumbuhan syarikat di rantau ASEAN.

“Penerimaan pelanggan yang semakin positif terhadap produk dan teknologi kami menjadi asas kepada pertumbuhan berterusan GWM di Malaysia. Selain sebagai pasaran utama, Malaysia juga dilihat sebagai hab penting dalam perancangan serantau kami,” katanya.

Di GATE 2026, GWM menampilkan tiga model yang mencerminkan perkembangan semasa dan hala tuju masa depan program pemasangan tempatan syarikat.

Antara yang menjadi tumpuan ialah WEY G9 Hi4 PHEV, sebuah MPV premium yang dipasang di Malaysia dan kini turut dieksport ke Thailand.

Langkah itu mengukuhkan peranan Malaysia sebagai salah satu pusat pengeluaran dan eksport penting dalam rangkaian operasi serantau GWM.

Turut dipamerkan ialah ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV yang dirancang untuk dipasang secara tempatan pada masa akan datang.

Kedua-dua model tersebut dijangka memperluaskan lagi pilihan kenderaan elektrifikasi GWM dalam segmen hatchback dan SUV.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, penyertaan di GATE membuka peluang kepada syarikat untuk berkongsi perkembangan semasa selain meneroka potensi kerjasama baharu bersama pihak industri dan kerajaan.

“Malaysia kini bukan sahaja menjadi lokasi pemasangan tempatan, malah memainkan peranan sebagai pangkalan eksport bagi model tertentu. Ini membuktikan keyakinan kami terhadap kemampuan industri automotif tempatan serta rangkaian pembekal sedia ada,” katanya.

Selain kenderaan, GWM turut memperkenalkan teknologi hibrid proprietari Hi2 dan Hi4 yang dibangunkan bagi menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan tenaga serta keupayaan pemanduan yang lebih pintar.

Teknologi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi syarikat dalam membangunkan pelbagai jenis rangkaian kuasa bagi memenuhi keperluan pasaran dan pengguna yang berbeza.

Pada masa sama, GWM turut mempamerkan teknologi hidrogen yang dibangunkan oleh FTXT sebagai sebahagian daripada usaha meneroka sumber tenaga alternatif untuk sektor mobiliti masa depan.

Pameran teknologi itu memberi gambaran tentang potensi penggunaan hidrogen dalam pelbagai aplikasi, termasuk pengangkutan dan penyelesaian tenaga yang lebih mampan.

Google ads
Back to top button