Buletin

GWM ORA 5 Hi2 HEV CKD BAKAL DILANCARKAN NOVEMBER INI – HARGA BAWAH RM115K

GWM Malaysia semakin hampir memperkenalkan SUV hibrid kompak terbaharunya, ORA 5 Hi2 HEV, selepas unit pertama pemasangan tempatan (CKD) model berkenaan berjaya dikeluarkan dari kilang EP Manufacturing Bhd. (EPMB) di Melaka.

Model yang dijadualkan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada November ini hadir sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun keempat GWM Malaysia menerusi tema “GROW WITH MALAYSIA: Together We Grow. Together We Go.”

Tempahan bagi ORA 5 Hi2 HEV telah dibuka sejak 5 Oktober lalu dengan anggaran harga jualan di bawah RM115,000.

Dari segi mekanikal, SUV ini menggunakan sistem hibrid Hi2 yang menggabungkan enjin turbo 1.5 liter bersama motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 223PS dan tork maksimum 476Nm.

Sistem tersebut dipadankan dengan transmisi hibrid khusus dua kelajuan (DHT) bagi memastikan penghantaran kuasa lebih lancar serta responsif.

GWM turut mendakwa model ini mampu mencatat penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100km, selain menawarkan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100km.

Sistem hibridnya tidak memerlukan pengecasan luaran, sekali gus memudahkan penggunaannya sebagai kenderaan harian mahupun untuk perjalanan jarak jauh.

Dari sudut pengiktirafan, GWM ORA 5 pernah meraih anugerah Design of the Year di London Design Awards 2025, sekali gus menjadi kereta produksi pertama menerima pengiktirafan berkenaan.

Model ini turut memenangi Best Interior Design Award (Family Car) di TADA 2026, hasil reka bentuk ruang kabin yang menitikberatkan keselesaan, teknologi pintar dan kepraktisan untuk kegunaan keluarga.

Tidak terhenti di situ, ORA 5 HEV turut mencatat rekod GUINNESS WORLD RECORDS bagi penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid elektrik produksi yang merentasi semua bandar perbandaran di China di bawah pentadbiran langsung kerajaan pusat.

Dalam ujian berkenaan, model itu merekodkan penggunaan bahan api hanya 3.74 liter bagi setiap 100 km sepanjang perjalanan sejauh 3,004km.

Bagaimanapun, harga jualan rasmi, spesifikasi lengkap untuk pasaran Malaysia serta pakej pemilikan akan diumumkan ketika pelancaran bulan ini.

Sambutan Ulang Tahun Keempat GWM Malaysia

Dalam perkembangan berkaitan, GWM Malaysia turut mengadakan kempen khas sempena ulang tahun keempat operasinya di negara ini dengan menawarkan peluang kepada pelanggan memenangi sebuah ORA 5 Hi2 HEV baharu.

Pelanggan yang membeli mana-mana model GWM sepanjang November dan Disember 2026 layak menyertai cabutan bertuah hadiah utama berkenaan, tertakluk kepada terma dan syarat kempen. Pemenang dijadualkan diumumkan pada Januari 2027.

Selain itu, dua cabutan bertuah bulanan akan berlangsung secara berasingan pada November dan Disember, dengan nilai keseluruhan hadiah mencecah RM100,000 bagi kedua-dua bulan.

GWM Malaysia turut menyediakan pelbagai promosi akhir tahun untuk rangkaian modelnya, termasuk kadar pembiayaan serendah 0.08%, manfaat bernilai sehingga RM17,000, bantuan insurans dan tukar beli, lanjutan waranti serta penyelenggaraan percuma.

Kempen sambutan turut diperluaskan menerusi penganjuran GWM Open House Weekenders di seluruh negara, yang menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menjalani pandu uji, menyertai aktiviti serta menikmati ganjaran eksklusif.

Pada masa sama, GWM memperkenalkan edisi ulang tahun khas bagi HAVAL H6 HEV dan TANK 500. Kedua-dua model menerima kemasan hitam istimewa, beberapa penambahbaikan luaran serta tambahan ciri telematik, dengan kelengkapan berbeza mengikut model.

Menerusi pelbagai pengenalan produk dan kempen berkenaan, GWM Malaysia menyasarkan untuk terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan dengan menawarkan lebih banyak pilihan kenderaan, teknologi serta nilai kepada pengguna.

Google ads
Back to top button