
GWM MALAYSIA CATAT REKOD JUALAN SEPARUH PERTAMA 2026, MENINGKAT 42.4 PERATUS
GWM Malaysia mencatat prestasi terbaik dalam sejarah operasinya di negara ini apabila merekodkan penghantaran sebanyak 3,166 kenderaan sepanjang separuh pertama 2026, meningkat 42.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan GWM dalam kelompok 11 jenama automotif paling laris di Malaysia, didorong permintaan yang semakin kukuh terhadap model hibrid dan kenderaan elektrik (EV), selain pengembangan rangkaian produk ditawarkan.
Prestasi syarikat turut menunjukkan peningkatan ketara antara suku pertama (Q1) dan suku kedua (Q2) tahun ini.
Untuk rekod, jumlah penghantaran meningkat daripada 1,294 unit pada Q1 kepada 1,872 unit pada Q2, bersamaan pertumbuhan sebanyak 44.7 peratus.
Antara model yang menjadi penyumbang utama ialah WEY G9 Hi4 PHEV yang mencatat peningkatan jualan daripada 421 unit kepada 707 unit pada suku kedua, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai MPV mewah paling laris dalam kalangan jenama OEM yang dipasarkan secara tempatan.

HAVAL H6 HEV pula terus menjadi model paling laris GWM Malaysia apabila jualannya meningkat daripada 656 unit kepada 895 unit, manakala ORA GOOD CAT EV hampir menggandakan prestasi jualannya dengan pertumbuhan suku ke suku sebanyak 93 peratus.
Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao, berkata pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pengguna Malaysia terhadap teknologi, produk serta komitmen jangka panjang syarikat di pasaran tempatan.
Beliau berkata GWM akan terus memperluaskan portfolio produknya pada separuh kedua tahun ini bagi mengukuhkan lagi kedudukan jenama itu di Malaysia.
Bagi baki tahun 2026, syarikat optimis momentum jualan akan terus berkembang dengan sokongan permintaan terhadap teknologi hibrid serta pelancaran beberapa model baharu.
Antara model yang dijangka diperkenalkan ialah ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV, selain TANK 300 HEV yang dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan jualan susulan peningkatan minat pengguna terhadap teknologi hibrid.
GWM Malaysia turut menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan PUA 402, yang menurut syarikat mampu mengekalkan kestabilan harga kenderaan dan membantu meningkatkan keyakinan pasaran.

Dalam usaha mempertingkatkan pengalaman pemilikan pelanggan, GWM Malaysia turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Touch ‘n Go Sdn. Bhd. bagi menyediakan penyelesaian mobiliti digital yang lebih lancar.
Melalui kerjasama itu, semua kenderaan baharu GWM yang ditempah dan didaftarkan bermula 1 Ogos 2026 akan dilengkapi tag RFID Touch ‘n Go x GWM sebagai kelengkapan standard atau dipasang sebelum penyerahan, sekali gus memudahkan pembayaran tol tanpa tunai serta menyokong pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF).
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata kerjasama tersebut membuktikan komitmen syarikat untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih moden, praktikal dan saling berhubung, bukan sekadar menghasilkan kenderaan berkualiti.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, GWM Malaysia turut melancarkan kempen promosi dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.
Menerusi kempen itu, pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan kenderaan baharu dalam tempoh berkenaan berpeluang memenangi pulangan tunai tol sehingga RM1,000.
Selain itu, syarikat turut menawarkan penjimatan sehingga RM30,000 bagi model terpilih sepanjang Ogos, di samping pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun untuk setiap pembelian kenderaan baharu.
Dalam usaha mendekatkan jenama kepada pengguna, GWM Malaysia juga akan mengadakan pratonton ORA 5 HEV di pengedar terpilih sebelum pelancaran rasmi model berkenaan, selain menyertai siri jelajah termasuk di Vivacity Megamall, Kuching serta CarSifu Autoshow di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
Dengan portfolio yang merangkumi enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid (HEV), hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV), GWM Malaysia yakin mampu terus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan sambil memenuhi keperluan pengguna yang semakin beralih kepada teknologi mobiliti pintar.








