Buletin

GEELY PERKENAL SUV LASAK BAHARU, BAKAL SAINGI DEFENDER

Geely sekali lagi mencuri tumpuan apabila mendedahkan bayangan awal SUV lasak terbaharunya – model yang dilihat sebagai jawapan terus kepada Land Rover Defender.

Model ini merupakan versi produksi kepada konsep Geely Galaxy Cruiser yang diperkenalkan tahun lalu, dan dijangka memasuki pasaran global seawal tahun ini.

Imej rasmi yang dikongsi menunjukkan kenderaan tersebut sedang menjalani ujian cuaca sejuk ekstrem di fasiliti Colmis, berhampiran Arjeplog di Sweden, dalam lingkungan Artik.

Ujian tersebut memfokuskan kepada keberkesanan sistem kawalan suhu kabin, kecekapan rangkaian kuasa serta tahap cengkaman dalam keadaan permukaan licin dan bersalji.

Dari segi rupa, model produksi ini jelas mengekalkan bentuk asas konsep asalnya. Garis badan kekal berkotak dan tegap, namun beberapa perubahan praktikal dapat dilihat – termasuk pemasangan satu sensor LiDAR di bahagian bumbung, bampar yang direka semula serta tambahan sensor pemanduan pintar.

Ia masih mengekalkan jarak kelegaan tanah yang tinggi, lengkungan roda yang lebar serta pintu belakang jenis buka sisi lengkap dengan tayar gantian terdedah – elemen tipikal SUV off-road sejati.

Walaupun unit ujian ini diselaputi pelekat penyamaran, beberapa perincian dapat dikenal pasti seperti pemegang pintu konvensional, lampu utama dan belakang bersaiz besar serta overhang hadapan dan belakang yang pendek – memberi bayangan keupayaan sudut mendaki dan menurun yang lebih baik.

Inspirasi reka bentuknya jelas condong ke arah Defender, sekali gus meletakkannya sebagai pesaing terus dalam segmen SUV lasak premium.

Setakat ini, spesifikasi penuh masih dirahsiakan. Namun sebelum ini, Geely mengesahkan model ini bakal menggunakan trenkuasa plug-in hibrid (PHEV).

Terdapat kemungkinan ia berkongsi konfigurasi dengan varian AWD bagi Geely Galaxy M9 yang menampilkan enjin 1.5 liter bersama tiga motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan sekitar 848hp serta dipadankan dengan bateri 41.5kWh.

Satu ciri unik yang pernah dipertontonkan pada konsep asal ialah mod “swimming”, membolehkan SUV ini meredah air cetek pada kelajuan sekitar 8.5 km/j.

Selain itu, ia dijangka dilengkapi sistem bantuan pemanduan G-Pilot H7 dengan lebih 30 sensor serta cip Nvidia Drive Thor berkeupayaan 700 TOPS untuk pemprosesan data berprestasi tinggi.

Jika tiada perubahan, model produksi Galaxy Cruiser ini dijangka membuat kemunculan rasmi di Beijing Auto Show 2026.

Google ads
Back to top button