
HAVAL HX DIDEDAHKAN, PHEV DENGAN SISTEM 800V – SAIZ LEBIH BESAR DARIPADA H9
Sebuah SUV flagship baharu daripada Haval telah didedahkan menerusi imej rasmi di China, menampilkan sistem plug-in hibrid dan reka bentuk berkarakter lasak.
Buat masa ini model tersebut dikenali dengan kod nama HX, manakala nama rasmi dijangka diumumkan pada 10 April.
Sebelum ini, model berkenaan pernah dikesan menjalani ujian jalan raya dengan penyamaran penuh. Ia dikategorikan sebagai SUV bersaiz penuh dengan tiga baris tempat duduk dan dibangunkan menggunakan platform modular GWM One.
Platform berkenaan menyokong pelbagai jenis rangkaian kuasa termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid, plug-in hibrid, elektrik sepenuhnya serta sel bahan api. Unit yang diuji di China dilaporkan menggunakan konfigurasi dua motor Hi4-Z.

Dari segi reka bentuk, HX tampil dengan bentuk badan berkotak, garis bumbung rata serta rim berbilang jejari berkemasan krom.
Bahagian hadapan menggunakan lampu utama berbentuk blok segi empat, gril nipis dan bukaan udara lebih besar. Turut kelihatan ialah fender berotot, sensor LiDAR di atas bumbung serta kemasan pelindung plastik di bahagian bawah badan.
Di belakang, SUV ini menggunakan pintu belakang jenis swing-out dengan tayar simpanan bersaiz penuh dipasang pada pintu tersebut.
Suspensi gandar belakang pula menggunakan sistem bebas multi-link. Walaupun spesifikasi penuh belum didedahkan, model ini diposisikan sebagai SUV flagship Haval dan dijangka lebih besar berbanding Haval H9 generasi kedua yang berukuran sekitar 4,950mm panjang.

HX juga dilengkapi sistem bantuan pemanduan terkini GWM berasaskan model VLA (Vision, Language, Action). Sistem ini menyokong fungsi Navigate On Autopilot (NOA) untuk jalan bandar dan lebuh raya, selain ciri parkir automatik.
Platform GWM One yang digunakan turut dikongsi dengan crossover flagship lain dalam kumpulan tersebut.
Untuk varian plug-in hibrid, ia berpotensi menggunakan enjin turbo 2.0 liter digandingkan dua motor elektrik, bersama sistem voltan tinggi 800V dan motor elektrik belakang berkuasa tinggi.
Dengan kedudukan sebagai model teratas jenama, Haval HX berkemungkinan besar akan menjadi SUV global baharu dan ditawarkan ke pasaran luar China pada masa akan datang.







