
GO AUTO BEKAL 425 UNIT KERETA PERONDA, TOYOTA COROLLA ALTIS KEPADA PDRM
Go Auto Sales mempamerkan unit prototaip Toyota Corolla Altis yang bakal menjadi kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) baharu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu acara khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Go Auto telah menerima surat niat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membekalkan 425 unit MPV kepada PDRM. Ia bagi menggantikan Proton Wira dan Waja yang sudah berusia secara berperingkat-peringkat.
Setiap unit MPV akan dipakejkan bersama servis percuma selama lima tahun. MPV itu juga dilengkapi pelbagai aksesori tambahan khas seperti Sistem Bunyi/Lampu Bersepadu, Sistem Pengurusan Flit serta alat komunikasi radio berfrekuensi tinggi.

Persiapan unit prototaip MPV ini merupakan salah satu usaha langkah Go Auto untuk mendapat kelulusan segera. Seterusnya menyempurnakan penghantaran semua 425 unit MPV berkenaan. Go Auto mensasarkan 100 unit pertama akan dapat digunakan oleh PDRM menjelang persidangan APEC 2020.
Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin memberitahu, syarikat menjangkakan 100 unit pertama akan dihantar kepada PDRM dalam jangka masa kurang dua bulan. Manakala baki 325 unit lagi akan menyusul dua bulan kemudian.
Go Auto kini sedang menunggu keputusan terakhir daripada Kementerian Kewangan bagi pembekalan tersebut.

Ini merupakan tender kedua diperoleh Go Auto. Tahun lalu, ia sudah menghantar 200 unit kenderaan pacuan empat roda (4×4). Penyerahan 4×4 itu dilakukan lebih awal daripada jadual.
“Go Auto terlibat secara aktif dalam tender terbuka kerajaan dan swasta kerana ia merupakan sebahagian daripada cabang perniagaan yang fokus kepada ‘Special Vehicle’.
“Saingan dalam industri automotif masa kini memerlukan Go Auto bergerak lebih agresif dan kreatif supaya kekal berdaya saing di pasaran,” kata Azli.