
GREAT WALL BELI KILANG GM DI INDIA. MAHU PASARKAN MODEL HAVAL DAN EV DI SANA
Great Wall Motors dilapor bersetuju untuk membeli kilang pemasangan General Motor (GM) di India kerana ia mahu mengembangkan aktiviti perniagaannnya berikutan pasaran automotif China yang kian perlahan.
Pembelian yang dijangka diselesaikan pada separuh kedua 2020 itu dilihat akan mempercepatkan perancangan Great Wall untuk membina dan menjual kereta di India. Pada masa sama menamatkan operasi pengilangan GM di negara itu.
Great Wall didakwa akan membayar sekitar AS$250 juta (RM1.01 bilion) hingga AS$300 juta (RM1.21 bilion) untuk membeli kilang tersebut.
“Pasaran India mempunyai potensi yang sangat besar, pertumbuhan ekonomi pesat dan persekitaran pelaburan yang baik. Masuk ke pasaran India adalah satu langkah penting untuk strategi global Great Wall Motor,” kata Naib Presidennya, Liu Xiangshang.

Great Wall yang merupakan antara jenama SUV terbesar di China merancang untuk memasuki pasaran India dengan model Haval dan kenderaan elektrik. Ia akan mengumumkan pelan yang lebih terperinci pada acara Delhi Auto Show bulan depan.
Pengeluar kenderaan China dilihat berlumba-lumba untuk membina kereta di India untuk mengurangkan kesan jualan yang terus perlahan di China. Mereka juga terinspirasi dengan kejayaan SAIC Motor di sana.
Walaupun jualan kenderaan di India tidaklah terlalu memberangsangkan, ia diramal menjadi pasaran automotif ketiga terbesar di dunia selepas China dan Amerika Syarikat.
Namun, pasaran itu menjadi medan sukar buat Ford Motor dan GM yang terpaksa bersaing dengan kenderaan kos rendah buatan Maruti Suzuki dan Hyundai Motor.
GM menghentikan jualan pada penghujung tahun 2017 dan sudahpun menjual kilangnya kepada SAIC di mana ia menghasilkan kereta menggunakan jenama Britain, MG Motor.
“Keputusan kami untuk menghentikan produksi di Talegaon adalah berdasarkan kepada strategi global GM dan mahu mengoptimumkan aktiviti pengilangan di seluruh dunia. Kami juga akan memberi sokongan kepada kakitangan yang terjejas akibat perkembangan terbaru ini,” kata Naib Presiden Kanan Operasi Antarabangsa GM, Julian Blissett.
Great Wall akan menaik taraf dan mengubah suai kilang GM untuk disesuaikan dengan keperluan, selain membina tapak buat para pembekalnya.
Dijadual bermula dalam tempoh setahun, kilang itu didakwa memiliki kapasiti pengeluaran sekitar 160,000 unit kenderaan setahun.