
LIMA JENAMA GWM DEDAH MODEL TENAGA BAHARU DI AUTO SHANGHAI 2023
Bersempena dengan Auto Shanghai 2023, GWM memperkenalkan rangkaian penuh model tenaga baharu dari lima jenama utama iaitu HAVAL, TANK, ORA, POER dan WEY.
GWM menjemput 300 media serta pengedar dari lebih 60 negara untuk berkongsi pengalaman NEV dan teknologi pintar di ruangan GWM.
Pada majlis itu, Naib Presiden dan Ketua pasaran antarabangsa GWM, Parker Shi, menyatakan bahawa transformasi GWM kepada tenaga baharu sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, Auto Shanghai 2023 adalah platform terbaik untuk GWM mempamerkan lebih daripada 15 kenderaan tenaga baharu.
“Berdasarkan falsafah GWM Intelligent NEV ‘Greener, Higher, and Safer’, GWM akan bergantung pada ekosistem hutan untuk mempercepatkan penggunaan teknologi baharu serta menaik taraf produk sedia ada,” kata Parker Shi.
Antara model diumumkan oleh GMW terdiri daripada GWM HAVAL dan SUV tenaga sederhana baharu yang digelar ‘Fierce Dragon MAX’ di pasaran China. Ia merupakan model pertama dilengkapi dengan Hi4 (Hybrid Intelligent 4WD) selain menggunakan konsep reka bentuk futuristik.

Turut diperkenalkan adalah pikap versi 6×6 baharu, GWM POER serta pikap hibrid berprestasi tinggi POER Shanhai PHEV/HEV sementara GWM TANK pula menampilkan dua NEV iaitu TANK400 PHEV dan TANK500 PHEV.
Untuk TANK 500, ia dikuasakan oleh enjin turbo V6 bersesaran 3.0 liter bersama sistem mild-hybrid 48 volt. Enjin tersebut menghamburkan kuasa 353hp, tork 500Nm dan digandingkan dengan transmisi automatik 9-kelajuan. Menariknya, ia juga menampilkan sistem Hi4T 4WD GWM.
Tidak ketinggalan adalah GWM WEY, di mana jenama berkenaan bakal mengeluarkan model MPV pertamanya, WEY Gaoshan PHEV selain sorotan terarah kepada SUV elektrik enam tempat duduk, Lanshan PHEV.

Satu lagi jenama semakin mendapat tempat dalam pasaran masa kini, GWM ORA, telah mendedahkan dua model elektrik sepenuhnya.
Salah satu model bakal memasuki pasaran Malaysia iaitu ORA Lightning Cat, menawarkan pilihan pacuan roda hadapan (FWD) motor tunggal dan pacuan semua roda (AWD) dwi motor.
Untuk rekod, versi FWD motor tunggal menghasilkan 204hp, tork 340Nm manakala versi AWD dwi-motor menghamburkan kuasa 408hp, tork pada 680Nm dan menggunakan sama ada bateri Litium besi fosfat atau bateri litium terner.
Kapasiti bateri dilaporkan 84kWj dan menawarkan jarak gerak 705km (CLTC) untuk varian ‘Long Battery Life’ sementara varian lain mempunyai jarak gerak 555km (Deluxe dan Premium) atau 600km (AWD High Performance).
Di acara sama, GWM memaparkan banyak teknologi penting seperti enjin 3.0T V6 + platform 9HAT+P2, Hi4, platform TANK dan platform off-road super 6×6.
- BACA: TENGKU ZAFRUL TERIMA ORA GOOD CAT DARI GWM MALAYSIA
- BACA: GWM BUKA PUSAT PEMBELAJARAN EV DI KOLEJ TEKNIKAL CHONBURI – TINGKAT KEMAHIRAN PELAJAR VOKASIONAL
- BACA: GWM MALAYSIA BERI KEJUTAN KEPADA PELANGGAN TERAWAL ORA GOOD CAT – HANTAR DALAM KOTAK HADIAH LUTSINAR GERGASI!
- BACA: GWM KING KONG CANNON 2022. NAMA GANAS, ENJIN 161HP SAHAJA