Buletin

HONDA BAKAL LANCAR MODEL FUEL CELL DI US, JEPUN TAHUN 2024, GUNA ASAS CR-V

Selain Toyota, Honda juga turut melihat potensi yang ada pada teknologi sel bahan api hidrogen.

Menjelang tahun 2024, pengeluar itu akan melancarkan sebuah kenderaan elektrik (EV) yang dilengkapi dengan teknologi sel bahan api menggunakan asas daripada Honda CR-V untuk pasaran Amerika Utara dan Jepun.

Sistem sel bahan api ini dibangunkan bersama General Motors, dengan kos satu pertiga lebih murah dan lebih tahan lasak berbanding sistem yang wujud pada Honda Clarity Fuel Cell 2019.

EV baharu ini juga turut menyokong fungsi pengecasan (plug-in) yang membolehkan para pemilik mengecasnya di rumah, terutama di lokasi yang tidak mempunyai infrastruktur pengisian hidrogen.

Menjelang tahun 2030, Honda menjangkakan sistem sel bahan api dengan kos pembangunan 50 peratus lebih murah, serta ketahanan yang meningkat dua kali ganda, di mana harga untuk satu unit adalah menyamai kos sebuah enjin diesel.

Selain itu, Honda turut bekerjasama dengan Isuzu di Jepun untuk membangunkan kenderaan komersial berkuasa sel bahan api, dengan sasaran demonstrasi atas dunia sebenar pada suku pertama tahun 2024.

Sistem sel bahan api ini juga akan diaplikasikan untuk kegunaan di angkasa lepas.

Menerusi kerjasama dengan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun, Honda mahu membangunkan sebuah teknologi yang menggunakan tenaga solar untuk proses elektrolisis air bagi menghasilkan oksigen dan hidrogen, selain mampu menjana tenaga elektrik dan air, dikenali sebagai sistem pengedaran tenaga yang boleh diperbaharui.

Semua ini membolehkan Honda mencapai sasaran utama neutral karbon untuk semua produk dan aktiviti korporatnya menjelang tahun 2050.

Google ads
Back to top button