Buletin

TOYOTA COROLLA CROSS ENJIN HIDROGEN – BUNYI LAIN MACAM, RASA MACAM ICE!

Toyota terus mengorak langkah dalam pembangunan enjin hidrogen, dan kali ini model Corolla Cross menjadi asas ujian terkini mereka.

SUV itu digunakan sebagai kenderaan ujian dalam siri perlumbaan Super Taikyu di Jepun, dengan matlamat jangka panjang untuk menjadikannya teknologi yang boleh dipasarkan kepada orang ramai.

Dari luar, Corolla Cross versi hidrogen ini hampir sama seperti model biasa. Perubahannya hanya dapat dilihat pada bahagian tertentu seperti ekzos diletakkan di sisi serta tangki hidrogen yang dipasang di bawah lantai kenderaan.

Toyota menjelaskan bahawa ekzos sisi dipilih bagi memberi ruang lebih besar kepada dua tangki hidrogen – satu di hadapan dan satu di belakang.

Versi terkini ini menerima peningkatan kapasiti kepada 171 liter setiap satu (berbanding 156 liter sebelum ini), sekali gus membantu meningkatkan jarak perjalanan.

SUV ini menggunakan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 150kW, pada asasnya versi yang diubah suai daripada enjin GR Yaris.

Walaupun menggunakan bahan api yang berbeza, pengalaman pemanduan dilaporkan sangat natural, hampir tidak boleh dibezakan daripada kereta petrol biasa.

Pemandu juga memaklumkan bunyi enjin dan ekzosnya kedengaran menarik dan responsif, seakan-akan enjin pembakaran dalaman konvensional.

Enjin hidrogen Toyota ini menggunakan dua jenis pembakaran – stoikiometrik untuk kuasa dan ‘lean burn’ untuk penjimatan bahan api. Sistem akan bertukar mod secara automatik mengikut keadaan pemanduan.

Toyota juga menyatakan bahawa pembangunan enjin hidrogen lebih mudah dalam aspek kestabilan pembakaran berbanding enjin petrol biasa.

Secara keseluruhan, konfigurasi Corolla Cross ini hampir sama seperti model produksi, kecuali bahagian lantai belakang yang sedikit tinggi untuk menempatkan tangki hidrogen.

Toyota percaya bahawa pada masa depan, teknologi ini berpotensi ditawarkan sebagai satu lagi pilihan powertrain selain petrol dan hibrid.

Pemerhati industri melihat usaha ini sebagai langkah penting Toyota dalam memastikan enjin pembakaran dalaman terus relevan, namun dengan pelepasan karbon yang jauh lebih rendah.

Google ads
Back to top button