Buletin

HONDA CITY FACELIFT DILANCARKAN, VARIAN S LEBIH MURAH, 1,000 UNIT SUDAH DITEMPAH

Honda Malaysia dilihat meneruskan momentum dan menghangatkan pasaran automotif tempatan apabila memperkenalkan City baharu pada hari ini. Sekali gus mengujakan rakyat Malaysia menerusi model sedan yang menjadi peneraju segmen B dan dilengkapi pelbagai ciri segmen C.

Berucap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, “City Baharu hadir bersama pelbagai ciri yang memiliki nilai tambah tanpa peningkatan harga. Saya berbangga kerana dapat menunaikan janji untuk menawarkan rakyat Malaysia dengan ‘City Baharu yang memiliki ciri-ciri segmen C, pada harga segmen B’. Saya yakin bahawa tiga varian ini mampu menarik minat golongan pembeli  yang ingin menaik taraf dan menukar kereta mereka.”

Sejak City Generasi ke-4 dilancarkan pada Mac 2014, City telah menjadi peneraju dalam kategori Sedan Segmen B dengan lebih 100,000 unit berada di atas jalan di Malaysia, ia mewakili 40% jualan Honda Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

City Baharu mengekalkan enjin signatur Honda 1.5L i-VTEC. Dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) termaju yang dibangunkan di bawah Teknologi Earth Dreams Honda, ia mampu menawarkan keseimbangan prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api yang ideal.

Ruang dalaman City Baharu dibangunkan di bawah prinsip reka bentuk Honda iaitu “Man Maximum, Machine Minimum” yang memaksimumkan ruang untuk pemandu, penumpang dan barang-barang. City Generasi ke-4 merupakan satu contoh keselesaan terbaik yang mampu menyaingi model segmen D. Ruang kargo 536 liter itu bukan sahaja lebih besar daripada model-model segmen C, malah setanding dengan sedan segmen D. Dari segi praktikaliti, tempat duduk belakang City Baharu yang boleh dilipat pada konfigurasi 60:40 menawarkan kemudahan kepada pemilik dalam apa jua keadaan, seterusnya membuatkan City seperti sedan dengan utiliti sebuah hatchback.  City Baharu menjadi penanda aras dari segi keluasan menerusi “ruang segmen D pada saiz segmen B”.

Demi mengukuhkan kedudukan City selaku peneraju dari segi keselamatan dalam segmennya, Honda Malaysia telah menjadikan Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS) sebagai ciri keselamatan standard pada semua varian. Bukan itu sahaja, Butang Penghidup Enjin dengan Sistem Kemasukan Pintar, Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED, Cermin Sisi Boleh Lipat Automatik dan Rim Aloi Dua Tona juga menjadi ciri standard pada semua varian.

Untuk varian berspesifikasi paling tinggi, Varian V, ciri-ciri bernilai tambah pada segmen C seperti Lampu Utama LED dengan LED DRL, Lampu Kabus Hadapan LED, Lampu Belakang LED, Ducktail Spoiler bersama Lampu Brek LED ada disertakan. Varian ini juga hadir dengan tempat duduk dibalut kulit, 8 unit pembesar suara, paddle shift, kamera undur multi sudut, Kawalan Jelajah dan 6 beg udara yang secara keseluruhannya jelas memberi rasa sedan lebih premium. Para pemilik City Baharu kini boleh menikmati pelbagai ciri segmen C dalam sedan yang bergaya ini. Semua ciri baru itu merupakan tambahan kepada aspek keselesaan, keluasan dan kefungsian luar biasa yang ada pada City Generasi ke-4.

City baharu didatangkan dengan banyak penambahbaikan dan ciri standard termaju yang ditawarkan pada ketiga-tiga variannya iaitu S, E dan V. Varian S itu sebenarnya merupakan naik taraf varian S+ sebelum ini. Apa yang lebih penting, Honda Malaysia berjaya mengekalkan harga sama untuk varian E dan V. Manakala harga varian S adalah sedikit murah berbanding varian S+ sebelum ini.

Di sebalik penambahan ciri yang signifikan ke atas City Baharu, harga varian E dan V tidak berubah, RM84,600 dan RM92,000. Sementara harga varian S dikurangkan sedikit berbanding varian S+ sebelum ini kepada  RM78,300.

Mazda CX30

Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 2,000 unit City sebulan. Dengan pelancaran City Baharu, BR-V serba baharu dan dua lagi model yang akan dilancarkan tidak lama lagi, Honda Malaysia yakin dapat mencapai sasaran jualan 100,000 unit.

Bagi memberi sentuhan lebih sporty dan individualiti, Honda Malaysia menawarkan Pakej Aksesori Tulen Honda untuk City Baharu pada harga bermula RM820. Namun, stoknya adalah terhad buat masa sekarang dan pesanan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Jaminan untuk City Baharu dikekalkan kepada lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 100,000km boleh dibuat di mana-mana 88 pengedar Honda di seluruh negara. Selain itu, Honda Malaysia akan memberi ganjaran kepada para pelanggan Honda, terutama pemilik City Baharu menerusi Promosi 3S (Jualan, Servis, Alat Ganti) di mana mereka boleh menikmati servis percuma (alat ganti & buruh) selama dua tahun*.  Promosi 3S itu layak untuk semua kenderaan Honda yang didaftarkan menerusi 88 pengedar sah Honda mulai 1 Mac hingga 30 April 2017.

City Baharu didatangkan dalam 5 warna iaitu perak (Lunar Silver Metallic), merah (Dark Ruby Red Pearl), putih (Taffeta White), kelabu (Modern Steel Metallic) dan hitam (Crystal Black Pearl).

Untuk maklumat lanjut mengenai City Baharu, menempah sesi pandu uji dan mengetahui lebih lanjut mengenai Promosi 3S, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 88 pengedar sah Honda di seluruh negara, hubungi talian tol percuma Honda 1-800-88-2020 atau layari laman web:www.honda.com.my.

BACA: HONDA CITY FACELIFT DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

BACA: HONDA CITY HATCHBACK UNTUK CHINA

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button