
HYUNDAI BAKAL BINA KILANG EV DI KOREA 2025
Melihatkan kepada peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, Hyundai bakal membangunkan sebuah kilang produksi EV di Korea Selatan menjelang tahun 2025.
Berdasarkan laporan daripada Reuters, ia bakal menjadi sebuah fasiliti produksi serba baharu yang dibuka Hyundai di tanah air mereka sejak tahun 1996, dan ia telah pun disahkan sendiri oleh kesatuan tempatan pembuat kereta itu.
Setakat ini, Hyundai masih lagi belum menentukan model mana yang bakal dipasang di kilang baharu itu.
Model EV Ioniq 5 kini dipasang di dua kilang utama, iaitu di kilang Ulsan, Korea Selatan dan kilang Jawa Barat, Indonesia, dan dalam masa yang sama Hyundai turut mempersiapkan diri untuk memasang model sedan Ioniq 6 pada tahun ini, diikuti SUV Ioniq 7.
Selain daripada kilang baharu di Korea, Hyundai sebelum ini turut mengumumkan pelaburan bernilai $5.54 bilion untuk mendirikan kilang pemasangan EV dan pembuatan bateri di Georgia yang akan bermula seawal tahun 2023, dengan kapasiti produksi tahunan 300,000 unit.
Menurut Hyundai, fasiliti baharu ini bakal mencipta 8,100 peluang pekerjaan dan mampu mendorong impian mereka untuk menjadi peneraju mobiliti elektrik di Amerika Syarikat kelak. – Carscoops