Buletin

HYUNDAI KEMBALI MASUK PASARAN JEPUN – LAPORAN

Jenama automotif Korea, Hyundai dilapor akan kembali memasuki pasaran Jepun selepas kali terakhir berada di pasaran tersebut pada tahun 2009.

Sebelum ini, Hyundai pernah mencuba nasib di sana, namun prestasi jualan yang tidak memberangsangkan membuatkan pengeluar itu terpaksa menyerah kalah.

Dalam satu laporan terkini oleh Bloomberg, CEO Hyundai Jaehoon Chang menjelaskan pihaknya kini bersedia untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

Hyundai turut mempertimbangkan untuk menjual hanya kenderaan elektrik sahaja di pasaran Jepun, dimulakan dengan model Ioniq 5.

“Kami sedang mengalami pertumbuhan EV yang besar di Korea, dan kami menjangkakan perkara yang sama berlaku dengan lebih pantas di Jepun,” ujar Jaehoon.

Sehingga kini, pasaran Jepun masih lagi bukan antara pasaran utama EV di peringkat global.

Berdasarkan statistik jualan tahun 2021, sebanyak 4.5 juta unit kenderaan terjual di Jepun dan peratusan kenderaan elektrik bateri (BEV) hanyalah dibawah satu peratus sahaja.

Dengan kemasukan Ioniq 5, ia bakal memberikan saingan secara terus kepada BEV-BEV buatan Jepun seperti Toyota bZ4X, Subaru Solterra, serta Nissan Ariya yang dijangka akan tiba pada tahun ini.

Sumber: Bloomberg

Google ads
Back to top button