Buletin

HYUNDAI STARIA 7 TEMPAT DUDUK RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – JANA 177PS, HARGA BERMULA RM267K

Selain Hyundai Santa Fe 2025, turut dilancarkan adalah Hyundai Staria tujuh tempat duduk baharu yang lebih mewah untuk pasaran tempatan.

Model MPV rekaan futuristik ini bukan sekadar tampil semula, tetapi hadir dengan beberapa penambahbaikan yang menyegarkan penampilannya. Antaranya ialah logo Hyundai versi baharu berwarna aluminium dan kunci pintar dengan bentuk logo ‘H’ tersendiri, menyerlahkan lagi identiti jenama tersebut.

Di bahagian dalam, keselesaan dipertingkatkan dengan wiper automatik dan port USB-C di seluruh kabin, manakala pintu gelangsar automatik kini dibuka lebih pantas apabila mengesan kehadiran pemegang kunci.

Varian tujuh tempat duduk, kini dikenali sebagai Staria Prestige, menawarkan pengalaman pemanduan dan penumpangan yang lebih premium, dengan kemasan warna tembaga pada bahagian luar seperti logo, gril, cermin sisi dan perincian bampar.

Bahagian dalam pula menampilkan kerusi “kapten” baris kedua yang boleh direbahkan sepenuhnya, lengkap dengan ottoman terbina dan sistem pengudaraan.

Antara kelengkapan lain termasuk lampu utama LED bersama jalur DRL hadapan merentangi keseluruhan gril, rim aloi dua tona bersaiz 18-inci, dua sunroof, sistem pendingin hawa dua zon untuk penumpang hadapan dan belakang, serta pintu but belakang dengan fungsi buka tanpa sentuhan.

Model sepuluh-tempat duduk masih ditawarkan dengan varian Style, Premium dan Prestige.

Dari segi teknologi, model ini menawarkan paparan digital 10.25-inci untuk kluster instrumen dan skrin infotainmen lapan-inci yang menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut dilengkapi sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar serta sistem kamera 360 darjah.

Bagi keselamatan pula, Hyundai menyertakan sistem bantuan pemandu SmartSense yang merangkumi;

● Bantuan Elak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Kawalan Cruise Pintar, Amaran Pelanggaran Titik Buta dan Bantuan Keluar Selamat

● Amaran Perhatian Pemandu dan Makluman Perlepasan Kenderaan Hadapan tersedia pada varian Prestige

Beralih pada kuasa, model ini terus dikuasakan oleh enjin diesel 2.2 liter turbocas empat silinder yang menghasilkan 177PS dan 431Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Untuk harga, unit tujuh-tempat duduk Prestige diberi tanda harga bermula RM267,888.

Sementara, model sepuluh-tempat duduk pula boleh dimiliki pada harga bermula RM179,888 (Style), RM196,888 (Prime) dan RM209,888 (Prestige).

Google ads
Back to top button