Motosikal

KAWASAKI Z 1100 RS BAKAL DEBUT TAHUN INI – 136HP, 112NM

Kawasaki bakal memperkembangkan tawaran motosikal retro dengan pelancaran Z 1100 RS serba baharu.

Ini kerana pengeluar motosikal Jepun itu didapati telah pun memfailkan kod nama ZRT10 GT di Amerika Syarikat baru-baru ini. ZRT10 merujuk kepada motosikal bersesaran 1,100cc di Kawasaki sementara GT pula bukan merujuk kepada ‘Grand Tourer’ sebaliknya hanyalah kod bagi membezakan jenis model.

*ZRX 1100

Untuk rekod, Kawasaki pernah guna pakai kod nama ZRT10 A, ZRT10 B dan ZRT10 C bagi merujuk kepada model Zephyr 1100 dan ZRX 1100.

Memandangkan Kawasaki telah pun melancarkan Z 1100 SX dan Versys 1100 sementara Z 1100 (pengganti Z 1000) bakal muncul tidak lama lagi maka hanya model RS sahaja yang belum tersenarai.

*Ninja 1100 SX

Walaupun pendaftaran kod nama itu tidak mendedahkan spesifikasi lain secara terperinci namun Z 1100 RS itu akan dipacu enjin empat silinder 1,099cc serba baharu yang menggerakan Ninja 1100 SX dan Versys 1100.

Ini bermakna, RS baharu itu akan menawarkan sekitar 136hp pada 9,000rpm dan 112Nm pada 7,600rpm. Sekadar perbandingan, Z 900 RS sedia ada menghasilkan 110hp dan 98.5Nm.

*Z 900 RS

Namun begitu, belum dapat dipastikan sama Z 1100 RS ini merupakan model tambahan kepada keluarga RS atau akan bertindak sebagai pengganti kepada Z 900 RS sedia ada.

Apa yang pasti, mengikut kiraan kami, Kawasaki akan menggunakan EICMA 2025 sebagai platform utama untuk mempamerkan Z 1100 RS ini nanti.

Google ads
Back to top button