
BERBALOI KE PERGI LANGKAWI NAIK KERETA SENDIRI & NAIK RORO?
Kalau anda bercadang untuk ke Pulau Langkawi, sebenarnya terdapat 3 pilihan utama untuk ke pulau peranginan ini. Pertama anda boleh mengambil penerbangan dari KLIA terus ke Langkawi, ia cepat namun mahal sedikit berbanding dengan pilihan lain
Pilihan kedua ialah dengan menggunakan feri dari Jeti Kuala Perlis atau Jeti Kuala Kedah. Pilihan ke tiga ialah dengan berenang. Tak ni kami melawak saja
Bagi pilihan kedua, mengambil feri dari Jeti Kuala Perlis adalah pilihan yang lebih baik kerana ia leboh dekat berbanding dengan mengambil feri dari Kuala Kedah. Namun bagi pilihan ke 2, anda sebenarnya boleh memilih untuk menaiki feri biasa atau feri yang boleh memuatkan kereta anda terus ke Pulau Langkawi
Tapi pilihan mana yang lagi berbaloi?
Jawapan pendek ialah ia bergantung kepada tempoh percutian dan gaya perjalanan. Tapi kalau anda mahukan jawapan panjang dan lengkap ini perbandingan penuh antara dua pilihan popular. Untuk pengiraan ini kita buat anggaran perjalanan pergi pada hari Jumaat dan balik pada hari Ahad
Pilihan 1: Naik RORO & Bawa Kereta Sendiri
Untuk pilihan pertama, kita mengambil contoh kereta MPV kompak yang dipakai oleh rakyat kebanyakan iaitu Perodua Alza. Kos untuk membawa masuk Perodua Alza daripada Jeti Kuala Perlis ke Pelabuhan Tg. Lembung ialah sekitar RM 416.
Harga ini merangkumi Port Chargers RM 21 dan Insurans Kenderaan RM 6. Bagi memudahkan perbandingan, penulis tidak meletakkan penumpang tambahan. Harga RM 416 ini merupakan kos pergi balik 2 hala termasuk tambang percuma untuk pemandu
Tapi harga tambang ini bergantung pada jenis kenderaan dan juga saiz enjin. Semakin besar saiz kenderaan dan saiz enjin, maka harga akan berubah. Bagi memudahkan rujukan pembaca, setiap penumpang dewasa akan dikenakan tambang tambahan RM 21 sehala, kanak-kanak RM 16 manakala bayi RM 6
Walaupun perlu menempah feri/RORO awal untuk mengelakkan masalah di hari perjalanan, anda perlu memuat naik dokumen sokongan seperti kad pengenalan pemilik kenderaan serta sijil pemilikan kenderaan lebih awal.

Pada hari perjalanan anda perlu “check in” 1 jam 30 minit lebih awal di Jeti Kuala Perlis bagi mengesahkan perjalanan anda. Walaupun seperti agak leceh, ada beberapa kelebihan jika anda memandu sendiri dan menggunakan perkhidmatan RORO. Antaranya ialah
- Barang dan beg anda tidak perlu dipunggah berulang kali. Semua beg yang dimasukkan dalam kereta di rumah, barangan tersebut juga sampai depan bilik hotel. Anda tak perlu buat double loading & unloading
- Tak perlu cari kereta sewa, tak perlu tunggu, tak perlu risau pasal kereta yang nampak lawa di dalam gambar sahja.
- Feri RORO sekarang selesa dengan kemudahan 2 dek penumpang, kafe, tandas, ruang duduk. Anda boleh berjalan-jalan dalam feri dan mengambil angin di tepi ruang santai
- Sesuai untuk keluarga, warga emas dan mereka yang bawa banyak barang. Tak perlu naik turun bawa beg besar ke dalam feri. Ini akan mengelakkan risiko kecederaan pada warga emas
Namun terdapat juga beberapa kekurangan jika anda menggunakan Feri yang memuatkan kereta. Antaranya ialah:
- Perjalanan mengambil masa lebih lama, sekitar masa 2 ke 3 jam termasuk loading/unloading di feri dan menunggu.
- Anda kena turun di Tanjung Lembung, bukan Kuah. Jadi RORO perlu belayar jauh sedikit dan anda perlu sambung pemanduan 15 minit untuk ke pusat bandar.
- Tidak sesuai untuk perjalanan singkat. Kalau pergi 2 hari 1 malam, memang tak berbaloi untuk menggunakan perkhidmatan ini
Pilihan 2: Naik Feri Penumpang dan Sewa Kereta
Ok untuk pilihan ke dua iaitu ke Pulau Langkawi dengan menaiki Feri penumpang biasa, perbandingan yang sama juga dibuat iaitu seorang penumpang dan perlu menyewa Perodua Alza di Langkawi. Kos untuk Feri seorang penumpang masih sama iaitu dewasa RM 21 (RM 42 untuk pergi balik).

Namun pemandu perlu membayar parkir dengan pilihan parkir berbumbung (RM 15 untuk hari biasa atau RM 20 untuk hari cuti umum). Sekiranya kereta diparkir 3 hari, pemandu perlu membayar RM 60 untuk parkir sahaja. Kos sewa Perodua Alza ialah sekitar RM 340 untuk 3 hari 2 malam.
- Tiket feri: RM21 x 2 = RM42
- Sewa Alza: RM340, untuk perbandingan penggunaan kereta yang sama
- Parkir di Kuala Perlis: RM60
Jumlah keseluruhan: RM442
Untuk percutian 3 hari 2 malam terutama ketika waktu puncak (cuti umum), menggunakan feri memerlukan yang lebih mahal. Namun kelebihan menggunakan feri penumpang adalah:
- Perjalanan lebih cepat. Sekitar 1.5 jam sahaja dari Kuala Perlis ke Kuah. Anda boleh turun di Jeti Kuah yang lebih dekat dan tak perlu belayar lama
- Tak perlu tunggu loading/unloading kereta atas feri, terus naik dan duduk.
Namun terdapat beberapa kelemahan jika menaiki feri biasa dan menyewa kereta di Langkawi. Ini termasuklah:
- Barang perlu dipunggah banyak kali. Bermula dari kereta sendiri – feri – keluar feri- masuk kereta sewa. Jika anda memiliki ahli keluarga yang ramai dan barang yang banyak, ini boleh memeningkan kepala anda untuk pengurusan logistik
- Risiko barang tertinggal atau tercicir. Terutama kalau bawa anak kecil atau banyak beg disebabkan anda perlu mengangkut barangan dalam kuantiti besar dari kereta ke feri
- Kualiti kereta sewa tak menentu. Pengalaman penulis sendiri mendapati kereta sewa tidak diselenggara dengan baik, minyak brek hitam, tayar tak ada bunga dan pelbagai masalah kualiti kenderaan
Jadi pilihan mana yang lebih baik?
Kalau anda jenis sukakan cabaran dan mudah dari segi urusan membawa barang, RORO atau Feri yang boleh membawa kenderaan adalah pilihan yang lebih baik terutama jika bercuti sekurang-kurangnya 3 hari 2 malam.
Sekiranya anda hanya merancang percutian 2 hari 1 malam sahaja, maka menaiki feri biasa dan menyewa kenderaan adalah pilihan yang lebih ekonomi. Walau apa pun pilihan anda, pastikan rancang perjalanan mengikut gaya percutian. Jangan sampai tengah laut baru teringat ada barang tertinggal dalam kereta di Kuala Perlis.