
TESLA LAMBAT, XPENG MULAKAN PENGELUARAN ROBOTAXI SENDIRI
China nampaknya semakin agresif dalam perlumbaan teknologi pemanduan autonomi apabila XPeng secara rasmi memulakan pengeluaran Robotaxi pertama mereka yang dikenali sebagai GX. Model ini bukan sekadar kereta elektrik biasa yang diubah suai untuk bergerak sendiri, tetapi sebuah kenderaan yang memang dibangunkan dari awal khusus untuk operasi autonomi Level 4 (L4).
Apa yang menjadikan GX ini lebih menarik ialah pendekatan teknologi yang digunakan oleh XPeng sendiri. Berbeza dengan kebanyakan syarikat Robotaxi lain yang masih bergantung kepada sensor LiDAR mahal dan sistem pemetaan HD, XPeng memilih pendekatan “vision-only” yang hampir sama seperti apa yang dilakukan oleh Tesla.
Dalam erti kata lain, xPeng GX hanya menggunakan kamera bersama kecerdasan buatan (AI) untuk “melihat” dan memahami keadaan jalan raya di sekelilingnya.
Menurut XPeng, Robotaxi GX ini dibangunkan sepenuhnya secara dalaman tanpa bantuan syarikat luar. Model ini juga merupakan Robotaxi pertama di China yang sudah bersedia untuk pengeluaran besar-besaran terus dari kilang tanpa memerlukan sebarang modifikasi tambahan selepas keluar dari barisan pemasangan.

Dari segi teknologi, GX menggunakan empat cip AI “Turing” yang dibangunkan sendiri oleh XPeng. Gabungan empat cip tersebut mampu menghasilkan kuasa pemprosesan sehingga 3,000 TOPS, angka yang sangat besar untuk sebuah sistem pemanduan autonomi.
Kuasa pemprosesan ini penting kerana Robotaxi perlu membuat ribuan keputusan dalam masa yang sangat singkat ketika berada di jalan raya, berdasarakan input daripada kamera yang dipasang di sekeliling kenderaan
XPeng juga mengesahkan bahawa GX akan ditawarkan dengan tiga konfigurasi tempat duduk berbeza. Fokus utama model ini ialah untuk kegunaan komersial seperti perkhidmatan e-hailing autonomi, jadi susun atur kabin boleh diubah mengikut keperluan operasi dan jumlah penumpang.
Walaupun teknologi autonomi GX sudah berada pada tahap tinggi, operasi awal masih akan menggunakan pegawai keselamatan sebagai langkah keselamatan tambahan. Pegawai ini akan duduk di tempat pemandu untuk mengambil alih kawalan sekiranya berlaku situasi tidak dijangka. Namun begitu, XPeng mensasarkan operasi tanpa pemandu sepenuhnya dapat dilaksanakan seawal tahun 2027.

Setakat ini, XPeng sudah menerima permit ujian autonomi Level 4 di Guangzhou dan sedang menjalankan ujian dunia sebenar di beberapa lokasi di China. Operasi percubaan Robotaxi pula dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2026 sebelum pengeluaran dipertingkatkan kepada ratusan atau mungkin ribuan unit dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Paling menarik, platform GX ini bukan hanya akan digunakan sebagai Robotaxi semata-mata. XPeng turut merancang untuk menjual versi SUV mewah kepada pengguna biasa dengan menggunakan platform dan teknologi autonomi yang sama.
Strategi ini membolehkan kos pembangunan dikurangkan kerana satu platform boleh digunakan untuk dua tujuan berbeza. Satu untuk kegunaan pengguna biasa dan juga operasi Robotaxi komersial.
Kalau dilihat secara keseluruhan, langkah XPeng ini menunjukkan pengeluar China kini bukan lagi sekadar mengejar industri automotif global, tetapi sudah mula mencabar pemain utama dunia dalam perlumbaan teknologi autonomi masa depan









