
BHPETROL JULUNG KALI JADI PENAJA MINYAK TM ISTAF SEPAKTAKRAW WORLD CUP KUALA LUMPUR 2026
BHPetrol buat julung kali tampil sebagai penaja minyak bagi kejohanan TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 16 hingga 23 Mei ini.
Penglibatan syarikat petroleum tempatan itu dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh sokongan terhadap pembangunan sukan tanah air, khususnya sukan sepak takraw yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) memaklumkan, penajaan berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan kejohanan dunia itu, malah menjadi platform untuk membantu atlet tempatan memperoleh pendedahan lebih luas serta meningkatkan daya saing mereka di pentas global.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Encik Fardzi Shah Razali berkata, syarikat itu mahu terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa bakat sukan negara agar mampu berkembang dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat tertinggi.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan atlet tempatan memiliki peluang terbaik untuk bersaing secara kompetitif dalam arena sepak takraw antarabangsa.
“Sukan bukan sahaja menyatukan rakyat, malah mampu melahirkan generasi atlet berdaya saing yang boleh mengangkat martabat negara di persada dunia,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Mohd Sumali Reduan serta seluruh warga PSM atas usaha berterusan memartabatkan sukan sepak takraw di dalam dan luar negara.
Dalam masa sama, orang ramai turut diajak hadir memberi sokongan kepada skuad negara sepanjang kejohanan berlangsung di Kuala Lumpur.
Selain penajaan minyak, BHPetrol juga akan mengadakan pelbagai aktiviti promosi dan penglibatan jenama sepanjang kejohanan bagi mendekati pelanggan serta komuniti peminat sukan.
Usaha itu selari dengan hasrat syarikat untuk terus menjadi jenama tempatan yang dekat dengan rakyat sambil bersama-sama menyemarakkan semangat kesukanan dan kebanggaan negara.









