Buletin

JUALAN KENDERAAN CATAT LONJAKAN 14 PERATUS PADA APRIL

Industri automotif Malaysia merekodkan lonjakan 14 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 72,113 kenderaan pada April 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata jumlah itu mencerminkan pertumbuhan dua bulan berturut-turut dalam prestasi industri automotif negara.

Peningkatan TIV pada April 2026 telah dipacu oleh volum pengeluaran yang lebih tinggi sebanyak 70,611 unit pada bulan berkenaan selepas penutupan kilang sempena Hari Raya pada Mac 2026 serta jualan daripada pelancaran model baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengeluaran turut meningkat 25 peratus kepada 70,611 unit pada April 2026 daripada 56,602 unit pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga April 2026, jumlah jualan meningkat dua peratus kepada 254,318 unit berbanding 250,239 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pengeluaran bagi tempoh berkenaan susut dua peratus kepada 229,988 unit berbanding 234,205 unit pada tempoh sama 2025.

Mengenai unjuran Mei, MAA menjangkakan jualan akan mengekalkan momentum pertumbuhan semasa. – Berita Harian

Google ads
Back to top button