
FOTON TUNLAND V7 DAN V9 DILANCARKAN – HARGA MULA RM123K
FOTON secara rasmi melancarkan TUNLAND V7 dan V9 menerusi pengedar rasminya, Handal BCM.
Kedua-dua model itu hadir dengan dimensi besar berukuran 5,617mm panjang, 2,090mm lebar dan 1,955mm tinggi bersama jarak roda 3,355mm, menjadikannya antara trak pikap terbesar dalam segmen masing-masing.
Dari sudut prestasi, TUNLAND V7 dan V9 menggunakan enjin diesel empat silinder 2.0 liter Aucan 4F20 yang dibangunkan bersama Cummins serta dipadankan teknologi turbo geometri berubah (VGT).

Enjin itu turut dibantu sistem mild hybrid 48-volt yang membolehkan kuasa keseluruhan mencecah 163PS dan 400Nm tork, selain tambahan kuasa elektrik 12PS serta 50Nm ketika pecutan diperlukan.
Gabungan itu dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan bersama sistem pacuan empat roda dan kotak gear low-range BorgWarner bagi meningkatkan keupayaan di laluan mencabar.
Pengguna juga boleh memilih enam mod pemanduan termasuk;
- Sand
- Mud
- Snow
- Eco
- Sport
- Normal
Walaupun bersaiz besar, penggunaan bahan api dikatakan masih efisien dengan kadar sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 kilometer.

Dalam aspek keupayaan kerja berat, kedua-dua model menawarkan kapasiti tunda sehingga 3,500 kilogram, setanding pesaing utama dalam segmen trak pikap.
Namun, kapasiti muatan sekitar 895 kilogram sedikit lebih rendah berbanding standard satu tan kebanyakan trak sederhana, berikutan penggunaan suspensi belakang jenis multi-link coil pada V9 yang lebih memfokuskan keselesaan pemanduan.
Dari segi rekaan, V7 tampil dengan lampu utama LED dwi-projektor menegak serta gril hadapan besar, manakala V9 membawa imej lebih agresif dengan rekaan hadapan mirip trak pikap Amerika bersaiz penuh.

Kedua-duanya turut menerima rim aloi hitam 18-inci, pelapik ruang kargo, tailgate damper dan elemen badan berotot bagi menyerlahkan karakter lasak.
Masuk ke ruang kabin, TUNLAND V7 dan V9 menampilkan susun atur moden dengan papan pemuka mendatar, skrin infotainmen besar 14.6-inci bersama Apple CarPlay serta kluster digital 12.3 inci.
Bahagian tempat duduk belakang pula boleh dilipat untuk memberikan ruang tambahan membawa barangan tinggi, selain turut menempatkan bateri lithium-ion bagi sistem mild hybrid.
Antara kelengkapan premium lain termasuk tempat duduk larasan kuasa, pendingin hawa automatik, pencahayaan ambien dan ventilasi udara belakang.

Bagi V9, model itu menerima tambahan seperti bumbung panoramik, kamera 360 darjah, sistem pendingin hawa dua zon bersama penapis udara, enam pembesar suara dan cermin sisi pemanas.
Untuk pilihan warna, perincian adalah seperti berikut;
- Grey V7
- Black V9
- White V9
- Grey V9
Untuk harga, dua model berkenaan ditawarkan pada;
- V7: RM123,800
- V9: RM143,800
FOTON turut menawarkan jaminan tujuh tahun atau 200,000 kilometer untuk kedua-dua model tersebut serta RM2,000 rebat tunai untuk 888 tempahan awal dan dua tahun servis percuma.
GALERI:
V7:












V9:












