
GEN Z & MILLENIAL LAGI SUKA BELI KERETA DARI RUMAH – PAKAR
Satu ketika dahulu, kejayaan hidup diukur dengan mendapatkan pekerjaan tetap, kahwin, membeli rumah idaman, dan akhir sekali membeli kereta idaman. Tapi nampaknya cara berfikir berkenaan dengan kejayaan hidup semakin berubah, terutama dalam kalangan Generation Z dan sebahagian Millennials hari ini.
Satu kajian yang dikongsi oleh Mazda di Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan sesuatu yang agak mengejutkan. Ramai anak muda di Amerika lebih rela membeli kereta terlebih dahulu berbanding membeli rumah. Malah, sekitar 69 peratus responden Gen Z dalam kajian tersebut memilih kereta sebagai pembelian besar pertama mereka dalam hidup.
Faktor seperti harga rumah sekarang semakin sukar dicapai, terutama di bandar besar telah mendorong golongan muda untuk membeli kereta terlebih dahulu. Untuk ramai golongan muda, rumah bukan lagi sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat macam generasi ibu bapa mereka dulu.
Ada yang melihat rumah sebagai komitmen terlalu besar, terlalu jauh, dan terlalu mahal untuk dikejar pada usia muda. Jadi ramai Gen Z memilih sesuatu yang lebih realistik dan lebih cepat memberi kepuasan iaitu kereta.

Kajian mendalam oleh Northwestern University and the University of Chicago mendapati hampir 50% Gen Z di Amerika melepaskan impian mereka untuk memiliki rumah. Bagi Gen Z, adalah ok untuk menyewa rumah.
Cara generasi muda melihat kereta hari ini juga sudah berubah sepenuhnya. Kereta bukan lagi sekadar alat untuk bergerak dari Poin A ke Poin B. Bagi ramai Gen Z, kereta sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup, identiti diri dan ruang peribadi mereka sendiri.
Sebab itu kita mula nampak trend pelik tetapi menarik. Ramai anak muda sanggup berhabis duit untuk mendapatkan kereta dengan sistem audio premium, lampu kabin, Apple CarPlay, panoramic roof dan teknologi moden walaupun masih belum memiliki rumah sendiri.
Kajian Mazda itu sendiri menunjukkan perkara tersebut dengan sangat jelas. Sebanyak 94 peratus responden Gen Z mengatakan ciri keselamatan moden sangat penting ketika membeli kereta. Dalam masa sama, 93 peratus mahukan teknologi yang mudah digunakan dan mesra pengguna.
Yang paling menarik, sekitar 82 peratus pula menganggap sistem audio premium sebagai salah satu perkara penting dalam sesebuah kereta. Malah, 64 peratus mengaku mereka menilai kualiti sesebuah kereta berdasarkan sistem bunyi yang digunakan. Lagi mengejutkan, 85 peratus percaya sistem audio yang bagus memberi gambaran bahawa keseluruhan kereta itu sendiri berkualiti tinggi.
Kalau difikirkan secara mendalam ini sebenarnya menunjukkan perubahan budaya yang sangat besar. Generasi dulu mungkin melihat rumah sebagai simbol kejayaan dan kestabilan hidup. Tetapi bagi generasi sekarang, pengalaman harian lebih dihargai berbanding sekadar memiliki aset besar.

Konsep “experience vs ownership” semakin kuat dalam budaya moden hari ini.
Ramai Gen Z lebih rela menggunakan duit untuk menikmati hidup sekarang seperti melancong, café hopping, modifikasi kereta, memasang sound system sedap, atau sekadar menikmati perjalanan harian yang lebih menyeronokkan. Kereta menjadi tempat healing, ruang privasi bergerak, tempat dating, malah kadang-kadang menjadi ruang melarikan diri daripada tekanan hidup harian.
Perubahan ini juga berkait rapat dengan dunia digital dan media sosial. Generasi muda membesar dalam era Instagram, TikTok dan YouTube, di mana pengalaman hidup sering dikongsi secara visual. Disebabkan itu, kereta bukan lagi sekadar pengangkutan, tetapi sebahagian daripada lifestyle dan personal branding seseorang.
Terdapat kajian akademik dari University of Michigan sebelum ini pernah menyentuh bagaimana generasi muda hari ini berdepan kos hidup jauh lebih tinggi berbanding generasi terdahulu, termasuk harga rumah, pendidikan dan komitmen kewangan lain.
Sebab itu ramai anak muda memilih untuk fokus kepada perkara yang boleh memberi kepuasan lebih cepat dan lebih realistik untuk dicapai dalam kehidupan semasa mereka.
Namun pada masa sama generasi muda hari ini juga jauh lebih terbuka terhadap teknologi automotif moden. Mereka lebih menerima idea kereta autonomous, sistem bantuan pemandu dan EV berbanding generasi lama yang masih skeptikal terhadap terlalu banyak teknologi dalam kereta.
Malah, faktor seperti penjimatan minyak, teknologi pintar dan isu alam sekitar semakin memainkan peranan besar dalam pemilihan kereta moden.
Namun begitu, ini tidak bermaksud generasi muda tidak mahu memiliki rumah langsung. Ramai masih mempunyai impian untuk membeli rumah suatu hari nanti. Cuma bezanya, rumah bukan lagi sasaran pertama seperti zaman dahulu.









