Buletin

TATA PERLIHAT KONSEP AVINYA, MINIVAN ELEKTRIK, CAS 30 MINIT BOLEH JALAN 500 KM

Syarikat induk Jaguar Land Rover, Tata Motors memperlihatkan sebuah model konsep yang serba elegan digelar sebagai Avinya.

Mengikut bahasa Sanskrit, Avinya membawa maksud inovasi dan ia dilihat amat kena dengan konsep Avinya yang mahu memperlihatkan hala tuju syarikat itu pada masa akan datang.

Dibangunkan atas pelantar EV khas, Tata Avinya Concept dikatakan mampu menyokong sistem pengecasan pantas selama kurang 30 minit untuk mencapai jarak operasi sejauh kira-kira 500 km.

Tiada butiran lanjut didedahkan seperti konfigurasi motor elektrik, serta angka kuasa kuda dan daya kilas bagi model konsep ini.

Reka bentuk Tata Avinya dilihat lebih ke arah sebuah minivan berbanding bentuk crossover yang semakin popular, di mana ia turut menampilkan bukaan pintu suicide, diikuti dengan jarak antara roda yang panjang, serta saiz tayar yang agak besar.

Ia juga turut didatangkan dengan rekaan lampu utama dan belakang berbentuk bar LED yang melintang penuh, serta kamera sisi menggantikan cermin sisi konvensional.

Ruang kabin pula mampu memuatkan sehingga empat orang pada satu-satu masa, dan disebabkan jarak antara roda yang panjang, ia menyediakan ruang dalam yang agak luas.

Satu perkara yang menarik pada Tata Avinya adalah ketiadaan skrin infotainmen di bahagian tengah, di mana hanya ada satu skrin sahaja yang dimuatkan pada bahagian roda stereng.

Biarpun wujud sebagai model konsep, Tata Avinya akan berubah menjadi sebuah model produksi massa menjelang tahun 2025 menggunakan senibina baharu GEN 3 yang dikhususkan untuk model EV yang premium.

Google ads
Back to top button