
INI ADALAH ANTARA MODEL-MODEL YANG DIJANGKA DIHASILKAN PROTON
Satu persatu model Proton akan dihentikan pengeluarannya. Ia bermula dengan Neo, Preve dan Ertiga dan kami percaya, Proton akan menyusun semula poliferasi produk mereka bermula dari model atas ke bawah.
Seperti yang diketahui, Proton telah memperkenalkan X70, khusus untuk SUV segmen C (CR-V, CX-5, X-TRAIL, Outlander). Dari model ini, ia akan turun kepada model-model bawah yang akan menampilkan imej baru yang lebih berteknologi.
Kita boleh menjangkakan model-model seperti Persona, Saga dan Iriz bakal mendapat teknologi yang sama dengan X70, atau setidak-tidaknya bermula dengan sistem audio dengan arahan suara.
Jika mengikut kepada strategi Proton – Geely, langkah mereka yang seterusnya ialah mengeksport model-model Proton dengan pemanduan sebelah kanan. Justeru, mereka perlu memperbaharui produk supaya kekal relevan dan boleh melepasi piawaian di mana-mana negara sekalipun.
BACA: PROTON X70 AKAN DIEKSPORT KE INDONESIA
Berikut adalah jangkaan kami
1. PROTON PERDANA
Model flagship sedan segmen D Proton ini adalah “warisan” yang akan diteruskan. Ia bukanlah disebabkan permintaan tinggi, tetapi ketersediaan model Geely yang ada di pasaran. Jika Perdana akan digantikan, calon yang paling layak untuk menggantikannya ialah Geely BO-RUI.
Ia juga merupakan sedan premium dalam katalog Geely. Antara keistimewaan model ini ialah, ia dibina di atas pelantar moden yang sudah disediakan dengan varian Plug-In Hybrid (PHEV) serta Mild Hybrid (MHEV).
Secara asasnya, ia didatangkan dengan enjin tiga selinder petrol 1.5 turbo yang menghasilkan 177 kuasa kuda apabila digandingkan dengan motor hybrid. Enjin yang dibangunkan bersama Volvo ini didatangkan dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.
2. PROTON EXORA
Seperti yang pernah kami tulis beberapa bulan lepas, ia adalah MPV terbaru yang dilancarkan oleh Geely pada tahun ini. Geely JIA JI adalah calon yang sesuai kerana ia merupakan perintis kepada Geely sendiri dalam segmen kenderaan MPV.
Sebagai MPV 7 tempat duduk pertama Geely, Jiaji mempunyai saiz 4,706 mm X 1,909 mm X 1,664 mm dan jarak roda 2,805 mm. Saiz ini menghampiri konfigurasi sebuah Toyota Estima, ia jauh lebih besar dan lebar dari Proton Exora sekarang.
Geely Jiaji didatangkan dengan konsep reka bentuk keluarga terbaru Geely yang dikenali sebagai “Time Racing Aesthetics”,
Ia direka dengan kombinasi teknologi terkini. Lampu belakang dan hadapan yang terdiri daripada jalur LED yang membuatkannya tampak eksklusif.
MPV baru akan menggunakan 3 pilihan konfigurasi tempat duduk. Ia terdiri dari susunan 2+2+2, 2+ 2+3, atau 2+3+2. Ia bertujuan untuk mobiliti keluarga, bertemu dengan rakan, perjalanan perniagaan atau sebarang keperluan pengangkutan kenderaan yang lain, MPV Geely ni memang dibuat untuk memenuhi keperluan semua.
Jia Ji akan datang dalam versi hibrid ringan 48V (MHEV), plugin hibrid (PHEV) dengan enjin 1.5TD yang dipadankan dengan transmisi 7DCT atau versi enjin petrol biasa 1.8TD yang menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan.
MHEV – Mild hibrid
Versi MHEV dilengkapi enjin 1.5TD dan motor 48V BSG hibrid yang mempunyai kuasa maksima 188hp dan tork 300Nm. Catatan penggunaan bahan api ialah 5.9L / 100km bagi pemanduan bandar dan lebuh raya
PHEV – Plug In Hibrid
Versi PHEV dilengkapi kombinasi enjin hibrid 1.5TD bersama transmisi 7DCTH dan bateri lithium berkapasiti ultra-tinggi 11.3kW.h. Ia mampu menghasilkan kuasa 125hp dan tork maksimum 385Nm.
BACA: GEELY JIA JI, CALON PROTON EXORA
Gabungan penggunaan bahan api bandar dan lebuh raya hanya 1.6L / 100km.
ENJIN PETROL
Versi petrol dilengkapi enjin 1.8TD yang dipacu oleh transmisi 6AT. Ia menghasilkan kuasa maksimum 181hp dan tork 300Nm.
MPV Jia Ji dijangka dilancarkan pada awal tahun 2019. MPV ini akan menggunakan teknologi turbo Geely dan teknologi berkuasa untuk mempromosikan mobiliti yang lebih hijau di China.
3. PROTON X50
Ia sebuah SUV yang lebih kecil dari X70 dan berada dalam liga yang sama dengan Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Mitsubishi ASX.
Ketika banyak orang memperkatakan tentang harga X70 yang dilihat melangkaui jangkauan pembeli tradisi Proton, sebenarnya ini adalah calon yang sesuai untuk diletakkan pada braket harga lebih mampu milik.
Dikenali dengan nama BIN YUE – ia adalah model sama yang dibina di atas pelantar BMA (B-segment Modular Architecture) bersama model Volvo XC40, dan LYNK & CO – 01.
Geely menawarkan dua pilihan enjin. Enjin turbo 1.5 liter yang dibangunkan bersama dengan Volvo mampu menghasilkan kuasa 174hp dan tork 255Nm.
Dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan automatik, rangkaian kuasa itu membolehkan crossover ini memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 7.9 saat. Penggunaan bahan api pula ialah sekitar 6.1l/100km.
Bin YUe juga didatangkan dengan pilihan enjin 1.0 liter turbo berkuasa 136PS dan tork 205Nm. Dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuaan yang menawarkan penjimatan minyak mencecah 5.3l/100km.
4. PROTON PERSONA
BIN RUI merupakan sedan terbaru paling kecil dalam lingkungan saiz segmen A+. Ia telah dilancarkan di Ogos tahun lalu lalu di Pameran Kenderaan Chengdu .
Istimewa tentang Bin Rui ini ialah ia berada dalam segmen sedan A+ dengan konsep berorientasi sport. Senang kata, Bin Rui berada dalam segmen sama seperti Proton Persona.
Walaupun dalam segmen A+, kelengkapan Bin Rui langsung tidak mencerminkan kereta ‘bajet’ atau murah. Geely melengkapi Bin Rui dengan pelbagai ciri-ciri canggih dan moden.
Berikut ialah ciri-ciri Geely Bin Rui:
- Menggunakan konsep reka bentuk “The Aesthetics of Racing through Space and Time”
- Reka bentuk ala fastback yang sporti dan trend terkini
- Dibekalkan dengan dua pilihan enjin dan tiga transmisi iaitu G-Power 200T dengan enam kelajuan DCT, G-Power 14T dengan lapan kelajuan CVT dan G-Power 14T dengan enam kelajuan manual
- Enjin G-Power 200T bersesaran 1.0 liter turbo dengan suntikan terus – 134 hp dengan tork 205 Nm
- Enjin G-Power 14T bersesaran 1.4 liter turbo – 131 hp dengan tork 215 Nm
- Transmisi klac berkembar enam kelajuan dibekalkan oleh Getrag
- Dilengkapi dengan 14 teknologi bantuan pemanduan canggih. Teknologi pemanduan autonominya kini pada tahap L2
- Di antara teknologi canggih tersebut ialah Intelligent Cruise Control (ICC) yang mengandungi Adaptive Cruise Control (ACC), Traffic Jam Assistance (TJA) dan Lane Keep Assistance (LKA)
- Teknologi ini membolehkan kereta menukar laluan dan mengikuti kereta di hadapan pada kelajuan sehingga 150 km/j
- Teknologi Intelligent High-beam Control (IHBC) pula boleh melaras lampu puncak secara automatik apabila berselisih dengan kereta di laluan bertentangan
- Sistem Speed Limit Identification (SLIF) pula menggunakan dua kamera dan data navigasi untuk mengenal pasti had laju dan memaklumkan kepada pemandu
- Sistem Automatic Emergency Braking with Pedestrian Identification (AEB-P) pula mampu mengecam pejalan kaki melebihi 80 cm dan mengesan potensi kemalangan lebih daripada dua saat awal dan mengenakan brek semasa kelajaun di bawah 40 km/j
- Sistem keselamatan aktif dan pasif direka bagi mencapai skor 5 bintang NCAP global
- Lebih 70 peratus badan kereta diperbuat dari besi ketegangan tinggi (High-strength steel)
- Ada enam beg udara, ESP Bosch generasi kesembilan, Hill Climbing Assistance (HHC ), Traction Control System (TCS) dan Autohold Automated Park Assist
Model ini juga adalah untuk pasaran global di mana Geely merancangnya untuk bersaing dengan model segmen A+ terbaik dunia serta menetapkan aras baharu dalam pasaran.
Jika Persona perlu digantikan, maka ini adalah calon yang sesuai. Ia juga boleh menjadi pelantar asas untuk “dihatchbackkan” dan dilencanakan sebagai Iriz.
BILA MODEL MODEL INI AKAN DIHASILKAN?
Ia mungkin mengambil masa yang lebih panjang kerana Persona merupakan produk yang baru dilancarkan pada 2016. Persona mungkin model terakhir yang akan digantikan setelah barisan sedan, SUV B dan MPV diperkenalkan.
Pada pandangan kami, Proton akan menghasilkan X50 terlebih dahulu, kemudian pengganti Exora, Perdana dan seterusnya Persona.
Dalam masa yang sama, mereka akan sisipkan model-model facelift MMC (MInor Model Change) dengan ciri-ciri teknologi terkini seperti pemanduan ADAS, sistem multimedia yang canggih, ciri-ciri keselamatan termaju dan juga mungkin enjin-enjin yang lebih moden dan bersih seperti hybrid dan PHEV.