Buletin

GEELY JIAJI, BAKAL PENGGANTI PROTON EXORA AKAN DATANG

Ketika melawat pusat R&D Geely tahun lepas, kami dipertontonkan dengan model MPV pertama dari Geely yang masih dalam proses pembangunan peringkat akhir. Ia dikenali dengan kod model VF11 dan walaupun melihat pada rekabentuk prototaip, kami sangat yakin hasil akhirnya akan cantik.

Dan ini lah dia. Geely menamakannya Jiaji.

Tanpa Logo Geely, mungkin ramai yang berpendapat, rekaan keseluruhan kereta ini lebih cenderung kepada Eropah berbanding Asia.

Model ini juga adalah satu daripada tiga varian yang akan dilesenkan kepada Proton untuk pemanduan sebelah kanan.

Sebagai MPV 7 tempat duduk pertama Geely, Jiaji mempunyai saiz 4,706 mm X 1,909 mm X 1,664 mm dan jarak roda 2,805 mm. Saiz ini menghampiri konfigurasi sebuah Toyota Estima, ia jauh lebih besar dan lebar dari Proton Exora sekarang.

Geely Jiaji didatangkan dengan konsep reka bentuk keluarga terbaru Geely yang dikenali sebagai “Time Racing Aesthetics”,

Ia direka dengan kombinasi teknologi terkini. Lampu belakang dan hadapan yang terdiri daripada jalur LED yang membuatkannya tampak eksklusif.

Rekabentuk dua warna rim 18-inci menyuntikkan elemen bergaya ke dalam kereta keluarga.

Di bahagian enjin, menurut maklumat yang dilaporkan sebelum ini oleh Geely kepada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Jiaji  baru akan mempunyai dua konfigurasi enjin, iaitu enjin turbocharged tiga silinder 1.5L dari Volvo, dengan daya kuda maksimum 177 hp.

Satu lagi konfigurasi kuasa ialah enjin turbocharged tiga silinder 1.5L ditambah sistem hibrid plug-in dengan penggunaan bahan api gabungan sebanyak 1.7L / 100km.

Mengikut maklumat yang kami dapati sebelum ini, Geely Jiaji akan sampai ke Malaysia untuk menjadi model MPV Proton baru. Disebabkan saiz dan teknologi yang dimiliki, ia seharusnya lebih tinggi daripada Exora.

Dan jika dilihat secara keseluruhan, “permainan” Proton baru ini juga nampak sudah berbeza. Mungkin mereka tidak lagi mahu dikenali sebagai pengeluar kereta mampu milik semata-mata.

Lihat sahaja pada Proton X70. Senang kata, Proton tak Nampak Perodua pun sebagai pesaing mereka. Mereka Nampak, Honda, Toyota dan pemain utama dunia.

GALERI

Google ads
Back to top button