Buletin

INI CANGGIH, HYUNDAI BAKAL GUNA AUGMENTED REALITY (AR) UNTUK SISTEM NAVIGASI

Mereka yang meminati filem BoboiBoy The Movie atau terjebak sekali dengan anak-anak biasanya akan kenal dengan kad Augmented Reality (AR) Choki-Choki.

Cara untuk bermain ialah meletakkan dua kad bersebelahan dan imbas melalui aplikasi telefon pintar BoboiBoy.

Selepas itu apa yang berlaku? Maka bermulalah pertarungan di antara watak antagonis dan protagonis misalnya BoboiBoy berlawan dengan Adudu.

Ini perlawanan yang realistik seolah-olah kedua-dua watak tersebut timbul dari kad tadi.

Teknologi ini adalah secebis daripada AR dan apa kaitannya dengan dunia automotif?

Dalam masa dua tahun lagi Hyundai Motor Company mahu memperkenalkannya untuk kenderaan mereka melalui sejumlah pelaburan dalam syarikat start-up Switzerland WayRay AG.

Kerjasama ini juga akan membantu Hyundai bagi mencapai visi dalam masa depan kenderaan dan pada masa sama memberikan lebih nilai kepada pembeli selain daripada menggabungkan teknologi canggih dengan sistem hiburan dalaman.

WayRay mempunyai kepakaran dalam pembangunan perkakasan dan perisian sistem paparan holografik AR. Teknologi yang ada pada WayRay membolehkan objek virtual disatukan ke dalam bahagian dalam kenderaan.

Berbanding head-up display (HUD) yang sekarang ini semakin banyak dilengkapi pada kenderaan, teknologi sistem pancaran WayRay lebih kecil dengan imej lebih jelas dan boleh dipasangkan pada hampir kesemua kenderaan.

Imejnya paparannya juga lebih luas dan ini bermakna lebih banyak objek virtual dapat dipaparkan mengikut keselesaan mata pemandu. Malah saiz paparannya boleh dibesarkan sehingga memenuhi cermin depan kenderaan!

Ini bermakna pelbagai informasi boleh dipaparkan pada cermin daripada maklumat trafik sehinggalah papan isyarat jalan dan sebagainya.

Imej tersebut bukan sahaja boleh dipaparkan pada cermin depan tetapi juga boleh diintegrasi pada cermin sisi sebagai pilihan sistem infotainmen kepada penumpang.

Setakat ini tiada lagi teknologi yang mampu tahap tersebut. WayRay ditubuhkan pada tahun 2012 dan sejak itu telah menjadi syarikat peneraju dalam bidang teknologi holografik AR di dunia.

Suatu yang menarik ialah ibu pejabat WayRay terletak di Switzerland manakala pusat penyelidikan dan pembangunannya pula berada di Rusia.

Google ads
Back to top button