
HYUNDAI RANGKA STRATEGI HIBRID SEPENUHNYA UNTUK MODEL UTAMA
Hyundai dilaporkan sedang menilai kemungkinan untuk menjadikan teknologi hibrid sebagai pilihan utama bagi kebanyakan model arus perdananya, sekali gus mengikut langkah yang sebelum ini berjaya dilaksanakan oleh Toyota.
Perkara itu dibayangkan Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Australia, Gavin Donaldson, yang melihat peralihan daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada sistem hibrid dan kenderaan elektrik sebagai sesuatu yang sukar dielakkan dalam industri automotif global.
Menurut beliau, kejayaan Toyota menawarkan lebih banyak model hibrid berbanding versi petrol konvensional membuktikan pengguna kini semakin menerima teknologi tersebut, khususnya bagi model keluarga dan SUV bersaiz besar.
Toyota sebelum ini telah menukar beberapa model popular seperti Camry, RAV4, Land Cruiser, Sequoia dan Sienna kepada penawaran hibrid sepenuhnya di pasaran tertentu.

Strategi itu bukan sahaja membantu dari sudut kecekapan bahan api, malah meningkatkan imej jenama dalam era peralihan ke mobiliti rendah karbon.
Setakat ini, Hyundai masih mengekalkan gabungan pelbagai trenkuasa dalam barisannya termasuk petrol, hibrid, plug-in hybrid (PHEV), elektrik sepenuhnya dan juga hidrogen sel bahan api.
Namun kenyataan terbaharu daripada Donaldson memberi gambaran bahawa pengurangan model ICE tradisional mungkin akan berlaku secara berperingkat.
Hyundai ketika ini hanya mempunyai beberapa model yang masih ditawarkan sepenuhnya dengan enjin petrol tanpa pilihan hibrid, antaranya Kona, Venue, Santa Cruz dan Elantra N.
Penganalisis industri melihat langkah menjadikan model lebih besar seperti Sonata, Santa Fe dan Palisade sebagai hibrid sepenuhnya adalah lebih praktikal, terutama apabila permintaan terhadap SUV cekap bahan api terus meningkat di banyak pasaran.
Walaupun Hyundai belum mengumumkan pelan rasmi untuk menghentikan terus enjin petrol konvensional, arah tuju syarikat itu jelas menunjukkan fokus yang semakin besar terhadap elektrifikasi dan teknologi hibrid sebagai jambatan sebelum era EV sepenuhnya menjadi arus perdana.







