Buletin

INI NISSAN NAVARA USDM D40 (ERR MODEL LAMA KAN?)

Sebelum ini kami ada paparkan tentang Nissan Almera (Versa) versi pasaran domestik Amerika Syarikat (USDM). Nissan Almera dipasarkan di AS, sebuah negara maju dengan pelbagai model canggih dan undang-undang ketat serta nilai kepengunaan tinggi.

Nissan Almera adalah model ekonomi untuk pengguna di sana yang dipasarkan dari USD 12,000 hingga USD 15,000.

Perancangan produk sesebuah model adalah misteri dan tidak banyak diceritakan secara terbuka, secara lazimnya ia bergantung kepada saiz pasaran, perancangan pemasaran dan penjenamaan dan strategi pengeluar.

Sebagai contoh selepas bertahun-tahun barulah Honda memasarkan Civic Type R secara rasmi di AS atau Toyota Hilux yang baru sahaja ditawarkan di Jepun.

Begitu juga dengan Nissan GTR, model ini dipasarkan di Thailand dan walaupun berjiran tidak ditawarkan di negara kita.

Selain Almera ada lagi satu model ‘lama’ yang masih dipasarkan di AS. Model tersebut ialah Nissan Frontier atau dikenali Navara D40 yang kini sudah digantikan dengan Navara D23 di banyak negara di dunia.

Sebagai rekod, Navara D23 dilancarkan pada tahun 2014 dan susulan itu Nissan Amerika Utara sendiri memperakui model baharu tersebut bukan gantian kepada Navara D40.

Tidak dapat dipastikan kenapa Navara D23 tidak dijual di AS meskipun pikap ini telah dijenamakan semula sebagai Renault Alaska dan Mercedes-Benz X-Class.

Satu perkara yang harus diketahui ialah Navara adalah pikap bersaiz sederhana jika mengikut standard AS. Di sana Nissan mempunyai dua buah tawaran pikap iaitu Navara D40 dan TITAN yang bersaiz besar.

Keputusan sudah dibuat dan Nissan terus fokus kepada Frontier ini dan terus menambah baik spesifikasi untuk tahun 2019.

Di antara perubahan yang dibuat ialah skrin sesentuh tujuh inci berwarna untuk varian S dan SV serta penambahan warna Cayenne Red Metallic.

Selain itu varian istimewa Midnight Edition Package yang diperkenalkan tahun lepas hadir dengan gayaan menarik seperti gril hitam kilat, roda aloi 18 inci, pemijak sisi separa kilat, bampar depan dan belakang mengikut warna badan, cermin sisi, pembuka pintu dan emblem hitam.

Varian ini ditawarkan dalam warna Magnetic Black, Gun Metallic dan Glacier White. Navara di AS tidak kekurangan pilihan, pengguna ditawarkan dengan beberapa jenis badan iaitu King Cab dan Crew Cab sama ada dalam pacuan 4×2 atau 4×4.

Bila bercakap tentang AS, enjin adalah satu perkara menarik untuk diketengahkan. Frontier atau Navara ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 4.0-liter DOHC V6 berkuasa 261 hp dan 2.5-liter 152 hp (King Cab sahaja). Kedua-dua enjin dipadankan bersama opsyen transmisi lima kelajuan automatik dan lima kelajuan manual.

Sama seperti Almera, Navara dipasarkan pada harga yang begitu menarik dan dikatakan sebagai pikap paling mampu milik di AS.

Harga disyorkan bermula dari USD 18,990 (RM 79,615) untuk S King Cab 4×2 I4 5MT sehingga USD 36,850 (RM 154,494) untuk varian tertinggi SL Crew Cab 4×4 SWB V6 5AT.

BACA: INGIN MEMBELI NISSAN GTR? INI FAKTA PENTING PENJAGAAN SEBUAH NISSAN GTR

BACA: INI NISSAN PULSAR – BABY GTR!

*1 USD = RM 4.19

Kredit/hakcipta foto: Nissan

Google ads
Back to top button