Buletin

INI SKRIN PIKAP VW AMAROK 2023, BESAR TAK? 12 INCI!

Volkswagen Commercial Vehicles bakal melancarkan pikap premium Amarok generasi kedua pada penghujung tahun ini.

Model itu dibangunkan dari pikap Ranger hasil kerjasama kedua-dua syarikat.

Walaupun berkongsi, Amarok tampil dengan identiti tersendiri melalui beberapa keping gambar yang telah diedarkan. 

Terbaru Volkswagen berkongsi lagi gambar dan kali ini bahagian paparan digital pula. Apa yang luar biasa sehingga perlu dikongsi?

Lihat saiz paparan tersebut, memang besar dengan ukuran sehingga 12 inci! Adakah pikap sekarang ini mahu menjadi kereta penumpang?

Selari dengan trend, kereta sekarang ini meletakkan pelbagai kawalan dan aturan secara digital dan berpusat.

Maknanya, butang kawalan manual dikurangkan dan diganti dengan sentuhan jari pada skrin digital.

Untuk Amarok baharu, VW memasang skrin paparan digital dengan ukuran 10 hingga 12 inci dan walaupun begitu digabungkan sekali bersama butang atau tombol secara manual.

Walaupun butang digital dilihat lebih canggih dan kemas bukan semua pengguna gemarkan kaedah tersebut.

Selain itu, Ranger yang diperkenalkan pada November 2021 terlebih dahulu menggunakan skrin besar dengan saiz 12 inci yang mendominasi papan pemuka.

Perbezaan ketara di antara Amarok dan Ranger ialah reka bentuk corong penyaman udara dan suis kawalan VW jenis piano.

VW memaklumkan Amarok mempunyai lebih daripada 30 sistem bantuan pemanduan dan boleh ditetapkan melalui paparan tersebut.

Operasi seperti penyaman udara, info hiburan, navigasi, bantuan parkir dan sistem suara boleh dikawal melalui skrin yang sama.

Suis piano di bawah pula untuk akses secara terus dan pantas beberapa fungsi kawalan kenderaan.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi sebelum ini, Amarok digerakkan oleh satu pilihan enjin petrol dan empat diesel.

Sesaran enjin pula ada empat dan enam silinder dari 2.0 liter hingga 3.0 liter dan pilihan pacuan belakang dan semua roda.

Ada lima varian yang ditawarkan iaitu Amarok, Life, Style, PanAmericana dan Aventura.

VW Amarok akan dikeluarkan di Afrika Selatan, berbeza dengan pikap saiz sederhana lain yang kebanyakannya dikilangkan di Thailand.

BACA: VOLKSWAGEN PASSAT R-LINE, GOLF GTI SEDAN?

BACA: EA888, ENJIN 4 SILINDER 2000CC PALING LAMA DIHASILKAN VOLKSWAGEN

BACA: VOLKSWAGEN GOLF GTI GENERASI PERTAMA – INILAH DIA HOT HACH LAGENDA

Google ads
Back to top button