Pandu Uji

VOLKSWAGEN PASSAT R-LINE, GOLF GTI SEDAN?

Kali terakhir penulis memandu uji Passat ialah pada tahun 2019 dengan menggunakan model lama, siapa sangka sedan yang nampak sopan sebenarnya agak buas jika dipandu. Selepas 3 tahun, kami berpeluang memandu uji varian R-Line iaitu model terbaru Passat yang telah menjalani proses facelift pada tahun 2020.

Terima kasih kepada COVID-19 yang menyebabkan kita terkurung sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 2020 dan juga 2021 menyebabkan model ini tidak dapat diuji dan diwar-warkan pada pasaran secara meluas melainkan bermula pada tahun ini

Sesetengah media automotif mengatakan Passat hanya menjalani proses facelift yang minima, tapi kami berpendapat sebaliknya. Walaupun diberi perubahan kecil, tapi ia menyegarkan semula rekaan Passat secara keseluruhan baik dari dalam mahupun luar

Bahagian depan Volkswagen Passat diberikan sedikit sentuhan pada bahagian lampu dengan ciri nyalaan siang DRL diubah dari bahagian bawah ke bahagian atas serta lampu isyarat membelok diberikan ciri sequential.

Anda boleh mengawal ciri Follow Me Home dengan butang kawalan jauh, ia akan hidup secara automatik pada waktu malam dan dimatikan bila kunci ditekan. Jeriji bahagian atas dan bawah diberikan rekaan yang baru, dengan corak yang sedikit menegak.

Jeriji bahagian bawah pula menerima kemasan hitam berkilat yang baru, sama dengan Golf dan juga Arteon. Bahagian tepi Passat pula menerima rim rekaan baru Verona dengan tayar bersaiz 235/40 R19 serta disudahkan dengan logo R-Line.

Semua pintu boleh dibuka dengan ciri Keyless Entry, berbeza dengan jenama lain yang hanya membenarkan 1 atau 2 pintu sahaja dibuka. Rekaan perumah lampu belakang masih sama, melainkan rekaan dan kedudukan lampu LED bahagian dalam digubah semula serta dipasang dengan lampu isyarat membelok dengan ciri sequential light.

Bila menjenguk bahagian dalam, anda mungkin boleh menarik nafas lega kerana corak hiasan dengan unsur kayu seperti zaman 90an sudah dibuang. Ia digantikan dengan corak rekaan Aluminium Brushed serta karbon. Jam analog yang susah dibaca juga digantikan dengan suis lampu hazard

Model lama Passat menggunakan suis butang untuk penyaman udara, tapi pada model facelift ia diganti dengan suis butang capacitive sama seperti Arteon. Sistem audio yang baru Discover Infortainment bersaiz 9.2 inci digunakan, lengkap dengan ciri sambungan Apple Car Play dan Android Auto yang menyokong 2 telefon pintar sekaligus

Kemasan kulit dengan logo R digunakan untuk kusyen, lengkap dengan ciri mengurut untuk pemandu. Penumpang depan dan pemandu menerima kusyen dengan bantuan kuasa elektrik manakala kusyen belakang boleh dilipat dengan tetapan 40:60.

Kemasan bahagian dalam disudahkan dengan sepasang pedal aluminium untuk brek dan juga pedal minyak. Secara keseluruhan persembahan terbaru Volkswagen Passat berjaya menjentik jiwa muda penulis, jauh berbeza dengan model lama.

Pasat masih menggunakan khidmat enjin EA888 yang lama, menghasilkan 217 kuasa kuda dan 350Nm tork. Semua kuasa enjin disalurkan ke roda depan menerusi transmisi 6 kelajuan DSG dengan ciri klac basah.

Pada hemat kami, ia unit trenkuasa yang sangat berlainan jika dibandingkan dengan Passat Elegance yang menggunakan 7 kelajuan DSG serta menawarkan hanya 188 kuasa kuda dengan 320Nm tork

Seperti biasa ujian pemanduan penulis dimulakan dengan ujian halaju bersahaja dari 110-130km/jam atas 2 tujuan. Pertama bagi memahami karekter pemanduan Passat dan yang kedua bagi menguji penggunaan bahan api pada pemanduan normal. Secara purata jika dipandu berhemah, Passat berupaya memberikan bacaan sekitar 15.2km/liter

Ia mengatasi bacaan rasmi yang diberi oleh Volkswagen iaitu 14.5km/liter. Tapi jika dipandu secara merempit atau melalui kesesakan jalan raya di bandar, maka penggunaan bahan api akan meningkat dengan ketara. Mungkin salah satu sebabnya ialah berat Passat sendiri yang mencecah 1455kg.

Sama seperti model sebelum facelift, Passat diberikan ciri 4 tetapan mode pemanduan. ECO jika anda berhajat untuk memandu santai, Sport jika anda nak perah enjin habis-habisan atau Comfort jika anda memilih untuk melembutkan penyerap hentak.

Butang mode pemanduan diletak di sebelah tombol gear

Bagi mode Individual, anda boleh memilih untuk melaraskan tindakbalas enjin, kotak gear, respon stering dan juga kekerasan penyerap hentak mengikut kemahuan anda sendiri. Tapi pada kebanyakan masa, penulis kekal dengan mode Comfort sepanjang masa.

Respon enjin boleh dikategorikan sebagai sporti dan cepat, apatah lagi dengan tork maksima boleh dicapai pada 1500 RPM sahaja. Jika anda berani, tekan pedal minyak rapat ke lantai dan sekejap sahaja halaju anda sudah jauh melebihi halaju yang dibenarkan di lebuh raya

Tapi kelemahan enjin pacuan depan dengan enjin berada di depan ialah understeer jika mengambil selekoh terlalu laju. Jadi Volkswagen kekal menggunakan sistem XDS iaitu electronic differential lock yang akan membrek pada mana-mana tayar ketika selekoh laju bagi menghapuskan terus masalah understeer.

Ditambah pula dengan penyerap hentak yang sedikit keras, maka apa yang kami rumuskan di sini ialah Passat memang direka untuk sporti sama seperti Arteon. Gabungan tindakbalas stering adalah cepat dan kuasa enjin yang besar menjadikan kereta sport dengan enjin aspirasi normal bukan tandingan untuk Passat

Selain sistem XDS, Passat juga dipasang dengan 6 beg udara, sistem kestabilan elektronik, sistem amaran titik buta dan juga amaran lintasan belakang. Pujian harus diberikan pada Passat kerana meletakkan lampu amaran titik buta pada perumah cermin sisi di bahagian dalam. Ia memudahkan pemandu melihat amaran dengan cepat dan jelas

Selain itu, Passat diberikan Driver Alert System yang mengingatkan pemandu untuk berehat jika memandu terlalu lama dan juga sistem amaran tekanan tayar. Bercakap pasal tayar, Passat disarungkan dengan Pirelli Cinturato yang direka khusus untuk keselesaan, bukan pemanduan prestasi.

Jadi jika dibandingkan dengan Pirelli PZero yang lebih mencengkam, Passat ada sedikit masalah cengkaman terutama ketika mula memecut. Kerap kali tayar depan Passat berkokok mencari cengkaman bagi menghantar semua 350Nm sekaligus ketika di lampu isyarat, mungkin ada pemandu lain ingat penulis sedang memprovokasi mereka untuk berlumba

Padahal pada kebanyakan masa penulis sedang melayan lagu menerusi 12 pembesar suara Harman Kardon yang berupaya menjana sehingga 700watt. Apa yang istimewa ialah sistem pembesar suara ini boleh menghasilkan 4 mode bunyi samaada LIVE, PURE, CHILL OUT atau ENERGY

Selain dari tayar, komen lain yang diterima oleh penulis ialah kusyen untuk penumpang belakang sedikit keras berbanding kebiasaan. Mungkin ia sesuai untuk pengguna di Eropah dengan kerangka badan dan berat yang lebih besar, tapi kurang sesuai untuk pengguna Asia.

Apatah lagi dengan penyerap hentak yang sedikit keras, mungkin penumpang yang berusia kurang gemar dengan pendekatan sebegini. Bagi penulis, kuasa enjin, prestasi DSG dan pengendalian sporti yang ditala pada Passat sudah cukup memuaskan

Cuma harga yang dipinta ialah RM 213 ribu, lebih kurang sama dengan Golf GTi tapi lebih mahal berbanding dengan Toyota Camry 2.5V dan juga Honda Accord 1.5 TCP. Apa yang anda bayar sebenarnya ialah sedan segmen D dengan prestasi yang hampir sama dengan Golf GTi dengan bonus ruang kabin yang luas dan ruang kargo 586 liter

Sama seperti model Volkswagen yang lain, Passat ditawarkan dengan jaminan pengeluar selama 5 tahun, servis percuma untuk tempoh 3 tahun dan juga bantuan kecemasan untuk kerosakan tepi jalan selama 5 tahun.

Google ads
Back to top button