Buletin

ISKANDAR MALAYSIA JADI PERINTIS UJI SISTEM ART DI ASIA TENGGARA

Iskandar Malaysia muncul bandar pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menguji sistem Rapid Transit Automatik (ART) menerusi program ujian perintis bas.

Sistem terbaharu itu dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini dibawa masuk oleh Mobilus Sdn. Bhd. (Mobilus).

Mobilus merupakan syarikat usaha sama antara Ireka Corporation Bhd. dan CRRC Urban Traffic Co. Ltd. dalam usaha merebut peluang perniagaan pengangkutan bandar di Malaysia dan Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Datuk Lai Voon Hon, berkata kehadiran ART menjadi langkah penting ke arah perniagaan pengangkutan bandar kumpulan itu untuk tahun mendatang.

Katanya, perancangan untuk Program Ujian Perintis ART di Iskandar Malaysia, yang akan turut mempamerkan tujuh pengeluar bas yang lain, sedang dijalankan selepas ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 tahun lalu.

“Kami berharap yang projek ini dapat dimulakan dan dilaksanakan seawal 2021.

“Ini akan menjadi satu daripada ujian laluan untuk projek Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) yang lebih besar, sistem transit yang komprehensif untuk Iskandar Malaysia meliputi rangkaian lebih 2,000 kilometer untuk Fasa 1,” katanya dalam satu kenyataan.

ART ialah sistem transit pengangkutan penumpang bandar menggunakan teknologi canggih dan membenarkan kapasiti penumpang lebih tinggi pada kos pelaksanaan lebih rendah.

Ini berbanding sistem sistem transit aliran ringan tradisional selain turut dikendalikan menggunakan sumber tenaga bersih seperti elektrik atau hidrogen.

Bas yang mempunyai lebih satu tingkat itu dilengkapi dengan sensor yang boleh membaca trek secara maya di jalan raya, sekali gus membolehkannya untuk mengemudi laluannya sendiri secara automatik.

Ia juga mampu bergerak selaju sehingga 70 kilometer sejam dan membawa lebih 300 penumpang dengan tiga gerabak.

Kapasiti kenderaan itu boleh dikembangkan sehingga 500 penumpang dengan lima gerabak.

Mengulas lanjut Voon Hon berkata, pelaksanaan projek perintis ART itu akan menjadi batu loncatan ke arah membantu menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam di Iskandar Malaysia dan seterusnya mempromosikan pembangunan pesat masyarakat dan ekonomi di wilayah berkenaan.

Mobilus memeterai Perjanjian Pembelian dengan CRRC MRT Urban Traffic Co pada Disember 2019 bagi mendapatkan unit pertama ART bagi projek perintis itu. – Berita Harian

Google ads
Back to top button