SEGALANYA TENTANG SISTEM EKZOS. JANGAN SILAP UBAHSUAI
Jarang sekali kita sembang berkenaan sistem ekzos melainkan kita sedang mempertimbangkan untuk menaiktaraf sistem ekzos kepada yang lebih “senang bernafas” agar ia menghasilkan lebih banyak kuasa. Atau mungkin kita sedang memikirkan untuk membebaskan bunyi ekzos agar jiran-jiran senang bangun pada waktu subuh.
Ada 2 fungsi utama yang perli digalas oleh sistem ekzos iaitu untuk menghalang bunyi enjin dari keluar dan menyebabkan pencemaran bunyi dan juga meneutralkan asap-asap beracun yang keluar dari enjin menjadi gas yang lebih mesra alam. Sepanjang penulis menggunakan kereta, hanya sekali penulis menukar ekzos akibat bocor.
Komponen Utama Sistem Ekzos
1. Exhaust Manifold – dalam bahasa Melayu ialah perongga ekzos yang disambung dengan port ekzos di bahagian enjin. Komponen ini bertanggung jawab menerima gas ekzos untuk dihantar kepada sistem ekzos yang lain.
Komponen ini biasa dihasilkan dari iron cast agar mampu beroperasi pada suhu yang tinggi dan bertahan dalam keadaan persekitaran asap yang bersifat mengakis dan juga tenaga bunyi yang dihasilkan daripada operasi enjin. Dari sini asap ekzos akan dihantar ke cataltyc converter
2. Catalytic Converter – dalam bahasa automotif juga disebut cat-con atau pernah juga penulis mendengar ia disebut sebagai buah nenas adalah komponen yang bertanggungjawab menukar asap ekzos yang berbahaya kepada asap yang lebih mesra alam. Dalam bahasa melayu ia disebut penukar pemangkin.
Antara gas yang terhasil dari pembakaran yang kurang sempurna ialah karbon monoksida (gas beracun yang boleh menyebabkan kematian), nitrogen oksida (menyebabkan jerebu dan hujan asid) dan juga komponen bahan api yang tidak terbakar yang disebut sebagai hidrokarbon. Jika dibelah komponen ini, anda boleh lihat bahagian dalam terdiri daripada jaringan besi yang disalut seramik.
Jaringan besi ini akan disalut dengan logam reaktif sepertif palladium, platinum dan juga rhodium. Logam ini sangat mahal dan ia hanya disadur pada jaringan besi cat-con. Apabila gas ekzos panas melalui blok seramik, ia menggalakkan gas yang berbahaya bertindakbalas dan bertukar kepada gas karbon dioksida, Nitrogen dan juga gas hidrokarbon HC akan bertukar menjadi wap air.
Jika anda perasan, terdapat 2 sensor oksigen yang dipasang sebelum dan selepas cat-con yang bertindak mengesan sebarang pencemaran di dalam sistem ekzos. Jika pengesan ini rosak atau ia gagal mendapatkan bacaan yang ditetapkan oleh parameter, biasanya lampu Check Engine akan menyala. Jika ini berlaku, pastikan kereta anda diperiksa oleh mekanik
3. Muffler – atau dalam bahasa melayu disebut sebagai peredam bunyi bertindak menghapuskan bunyi enjin yang dihasilkan dan dibebaskan keluar menerusi asap ekzos. Jadi tugas muffler ialah menghapuskan semua bunyi yang terhasil, kalau tak senak jugak telinga dengar bunyi meletup-letup depan rumah setiap hari.
Dalam muffler, terdapat 3 ruang khas yang dibina bagi menghapuskan bunyi. Bunyi merupakan gelombang tenaga yang bergerak menerusi medium udara secara getaran. Bagi menghapuskan bunyi, gelombang tenaga tadi perlu dilantunkan semula agar ia bertindan antara satu sama lain atau diserakkan menerusi lubang kecil.
Ruang ini disebut expansion chamber, second chamber dan juga Helmholtz Resonator Chamber akan memastikan bunyi ekzos yang tidak sekata akan keluar menjadi senyap atau menghasilkan bunyi enjin yang dikehendaki oleh jurutera. Akhirnya gas ekzos yang lebih bersih dan menghasilkan bunyi yang lebih senyap dibebaskan ke persekitaran.
Antara isu yang terjadi ialah bila gas ekzos gagal berfungsi dengan baik, mungkin disebabkan ia telah diubahsuai oleh pemilik, mengalami kebocoran sebelum cat-con atau mengalami kegagalan pada mana-mana komponen. Keadaan ini menyebabkan gas berbahaya seperti karbon mononsida dibebaskan ke persekitaran yang akhirnya membawa maut.