Buletin

BERANG BILIK HOTEL PENUH, LELAKI PECAHKAN CERMIN 4 KERETA

Seorang lelaki bertindak di luar jangka dengan memecahkan cermin empat buah kereta apabila berang bilik hotel tiada kekosongan dalam kejadian di pekarangan sebuah hotel di Jalan Duku di Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, suspek berusia 33 tahun memecah cermin kereta menggunakan topi keledar.

Beliau memberitahu, sebelum kejadian, suspek dikatakan memasuki hotel terbabit untuk menempah bilik namun penyambut tetamu wanita berusia 41 tahun memaklumkan bahawa hotel sudah penuh.

“Bengang selepas mengetahui bilik tiada kosong, lelaki itu marah sebelum keluar ke kawasan parkir kenderaan dan bertindak memecahkan cermin empat buah kereta termasuk kereta wanita berkenaan.

“Pengadu terbabit terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan.

Hang Seng menambah, suspek kemudian ditahan dan polis merampas sebuah topi keledar digunakan suspek dalam kejadian itu.

Jelasnya, saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.-K! ONLINE

Google ads
Back to top button