
JAECOO J5 EV DILANCAR DI INDONESIA: HARGA BAWAH RM80K, JARAK HAMPIR 500KM SEKALI CAS!
Jenama SUV premium JAECOO kini rasmi melancarkan model elektrik pertamanya di Indonesia, JAECOO J5 EV, yang dipasarkan pada harga serendah Rp249.900.000 (anggaran RM75,000) untuk 1,000 unit pertama.
Ia tampil dengan slogan “The Real SUV”, menandakan kehadiran serius JAECOO dalam segmen SUV elektrik mampu milik.
Walaupun berada dalam kelas B-SUV, harga jualannya menandingi model elektrik kelas A, sekali gus menjadikannya antara pilihan paling berbaloi di pasaran Indonesia ketika ini.

Dua varian ditawarkan; Standard dan Premium, dengan varian tertinggi berharga Rp299.900.000 (anggaran RM90,000).
Dengan falsafah “From Classic, Beyond Classic”, J5 EV menggabungkan rekaan klasik SUV dengan teknologi moden terkini.
J5 EV menampilkan gril Active Grille Shutter (AGS) yang boleh laras automatik bagi mengoptimumkan aliran udara, menjadikannya lebih aerodinamik dan efisien.

Rekaan lampu depan LED nipis melintang menyerlahkan wajah moden, manakala profil badannya kekal tegap dengan dimensi 4,380mm panjang, 1,860mm lebar dan 1,650mm tinggi serta ground clearance 200mm, cukup untuk meredah permukaan tidak rata.
Ruang belakang pula dihiasi lampu LED bar penuh lebar, rekaan minimalis, dan sistem kamera 540° panoramic view untuk bantuan parkir dan pemanduan bandar.
Masuk ke dalam, kabinnya terasa premium dengan tempat duduk kulit sintetik berventilasi, pelarasan elektrik (6 arah untuk pemandu, 4 arah untuk penumpang), serta bumbung panoramik dan pintu belakang kuasa (Power Tailgate).

Terdapat 35 ruang simpanan di serata kabin, termasuk ruang but depan (front trunk) berkapasiti 35 liter yang tahan panas, sesuai untuk barangan kecil atau peralatan kembara. Ruang but utama pula mencecah 480 liter, boleh diperluas sehingga 1,180 liter.
Paparan infotainmen disediakan melalui skrin 13.2-inci Full HD menegak dengan Apple CarPlay, Android Auto dan kawalan suara AI, disertakan sistem bunyi 8 pembesar suara dan pencahayaan ambien 64 warna.
Dari segi kuasa, J5 EV digerakkan oleh motor elektrik 155kW (210PS) dan tork 288Nm, memacu roda hadapan (FWD). Kuasa itu disokong bateri 60.9kWh yang mampu menawarkan jarak sehingga 461km (berdasarkan piawaian NEDC).

Dengan pengecasan pantas 130kW, bateri boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa hanya 28 minit. Ia turut dilengkapi fungsi regenerative braking dan vehicle pre-conditioning, membolehkan bateri dan kabin kekal pada suhu optimum sebelum perjalanan bermula.
Satu lagi tarikan besar ialah fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3kW, membolehkan pengguna menyalurkan tenaga elektrik terus ke peralatan luar seperti kompor mudah alih, lampu khemah atau rice cooker.
Melalui aplikasi telefon pintar, pengguna juga boleh mengawal suhu kabin, membuka tingkap dan menjadualkan pengecasan automatik dari jauh.

Untuk keselamatan, JAECOO melengkapkan J5 EV dengan 17 fungsi ADAS, termasuk amaran pelanggaran, brek kecemasan automatik dan kawalan jelajah adaptif, serta 6 beg udara.
Layanan selepas jualan turut menyeluruh:
- Waranti kenderaan: 6 tahun / 150,000km
- Waranti bateri & sistem voltan tinggi: 8 tahun / 160,000km
- Servis percuma: 4 tahun / 60,000km
- Bantuan kecemasan jalan: 1 tahun
- Penjemputan servis percuma: 2 tahun
- Internet percuma: 1 tahun
Empat pilihan warna disediakan — Forest Green, Jet Black, Pristine White, dan Ivory Gray. Untuk mereka yang mahukan hiburan ekstra, JAECOO turut menawarkan aksesori seperti subwoofer dan mikrofon karaoke.








