
LAIN PADANG, LAIN BELALANG: ISU NAMA PERKHIDMATAN E-HAILING JADI BAHAN PERHATIAN
Pepatah lama ada menyebut, “lain padang, lain belalang”. Begitu jugalah halnya dengan bahasa – lain negeri, lainlah maknanya.
Perkara ini sekali lagi mengundang perhatian di media sosial selepas tular gambar pelancaran sebuah syarikat pengangkutan di Indonesia yang menggunakan nama “ZAKAR” sebagai jenama perkhidmatan premium mereka.
Di negara jiran itu, mereka telah memperkenalkan sebuah aplikasi e-hailing baharu iaitu aplikasi ZAKAR, yang menawarkan tambang sekitar 10 ribu rupiah (RM2.58) bagi setiap kilometer.
Syarikat tersebut turut menyediakan perkhidmatan kereta dan motosikal sewa bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan sendiri.

Jika di Indonesia, perkataan itu tidak membawa maksud janggal, malah dipilih sebagai nama rasmi syarikat pengangkutan darat lengkap dengan armada teksi dan kereta sewa.
Namun, apabila gambar tersebut tersebar ke Malaysia, rata-rata warganet tidak dapat menahan senyum kerana perkataan yang sama membawa makna sangat berbeza di sini.
Gambar yang tular memperlihatkan barisan pekerja syarikat beruniform hijau hitam berdiri kemas di hadapan premis bersama kenderaan rasmi mereka, dengan kain rentang besar yang mempromosikan peluang pendapatan lumayan. Namun bagi pembaca di Malaysia, fokus mereka lebih tertarik kepada papan tanda dengan tulisan besar “ZAKAR”.
Fenomena ini mengingatkan kita bahawa sensitiviti bahasa amat penting dalam dunia perniagaan rentas sempadan.
Satu perkataan yang dianggap biasa di satu negara, boleh membawa maksud lucu atau bahkan sensitif di negara lain.
Ramai pengguna media sosial mengulas dengan nada bergurau, namun ada juga yang melihat isu ini dari sudut serius, bahawa syarikat antarabangsa perlu lebih berhati-hati dalam memilih nama jenama jika mahu melebarkan sayap ke pasaran serantau.
Apa pun, insiden ini menjadi bukti nyata bahawa bahasa bukan sahaja medium komunikasi, tetapi juga cermin budaya dan identiti sesebuah masyarakat.
Pendek kata, “lain negara, lainlah maknanya.”









