Buletin

JANGAN RENTAS NEGERI, SAMBUT AIDILADHA – SULTAN KELANTAN

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan semua rakyat Kelantan supaya kekal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dengan tidak merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan berkata, baginda bertitah, tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka.

Katanya, sebaliknya baginda menegaskan, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.

“Apabila kita tidak berjumpa dengan mereka, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 yang kini mempunyai mutasi semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

“Dengan kes positif di negeri Kelantan yang masih berada di paras tiga angka, rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan sosial, dan menjaga kebersihan diri supaya tidak dijangkiti virus Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan – KOSMO!

Google ads
Back to top button